Zakat instrumen ekonomi Islam

Pungutan wang zakat mungkin dapat digerakkan dalam satu permodalan yang dapat bergerak aktif menerusi kepelbagaian sektor ekonomi hartanah, pelaburan saham, perladangan dan sumber lain.
Pungutan wang zakat mungkin dapat digerakkan dalam satu permodalan yang dapat bergerak aktif menerusi kepelbagaian sektor ekonomi hartanah, pelaburan saham, perladangan dan sumber lain.
A
A
A

ISLAM adalah satu sistem pembangunan ekonomi ulung dalam tamadun manusia iaitu ketika perintah melaksanakan zakat difardukan ALLAH SWT, diikuti dengan pembangunan institusi kewangan dan harta benda seperti wakaf, hebah, sedekah, perniagaan dan seterusnya.

Pada permulaan surah Al-Baqarah ayat kedua, ALLAH SWT menjelaskan kategori orang yang bertaqwa iaitu: “Orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian daripada apa-apa yang direzekikan oleh ALLAH kepada mereka.”

Sayang sekali, negara-negara Islam yang kaya raya dengan kurniaan ALLAH tidak menyedari hakikat pembangunan ekonomi holistik untuk umat Islam seluruhnya kerana mekanismenya tidak dilakukan dengan baik dalam negara yang kaya itu.

Dalam konteks memanfaatkan pembangunan kewangan daripada pungutan zakat, Malaysia telah melangkah ke hadapan dengan agak dinamik. Urusan zakat dijadikan urusan pemerintah dengan penubuhan institusi kerajaan melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Sebelum langkah itu dijalankan, urusan zakat hanya menjadi urusan individu berasaskan kesedaran peribadi untuk membayar zakat kecil-kecilan.

Oleh itu, ijtihad ulama yang membenarkan penubuhan pusat zakat adalah satu kemajuan baharu yang diwujudkan dalam satu pelan tindakan bagi menginstitusikan sistem zakat dan mentadbirnya secara profesional.

Ulama dan pengkaji bidang keislaman dalam melaksanakan ijtihad itu tentulah telah mengkaji tafsiran ayat al-Quran tentang hal itu.

Misalnya, ayat 103 dalam surah al-Taubah yang menjelaskan kaedah dalam pembangunan harta zakat yang bermaksud: “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoakan untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Artikel Berkaitan:

Dengan itu, pemerintah mempunyai kuasa untuk memungut dan mentadbir zakat kerana salah satu fungsi pemerintahan Islam adalah mendidik masyarakat membersihkan diri daripada sifat bakhil dan kikir, juga cinta yang melampaui batas terhadap harta kekayaan mereka sehingga menimbulkan banyak perbuatan mungkar seperti rasuah, tipu dan riba.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak panduan dan pengajaran tentang pembangunan harta serta kewangan dalam Islam terutama dalam kategori zakat dan perniagaan termasuk cara pembangunan harta menurut kehendak ALLAH untuk kepentingan bersama.

Malaysia yang amat terhad bilangan hartawannya dan bilangan yang menunaikan zakat secara lazim, namun hingga kini kita dapat mengumpul wang pungutan zakat lebih RM3 bilion bagi satu tahun akhir-akhir ini dari negeri-negeri di Semenanjung, dan jumlah itu dijangka bertambah.

Namun, pada pandangan saya, sehingga hari ini kita masih belum mempunyai sebuah institusi Islam secara khusus untuk menjana dan memanfaatkan sumber kewangan zakat tersebut.

Pungutan wang zakat mungkin dapat digerakkan dalam satu permodalan yang dapat bergerak aktif menerusi kepelbagaian sektor ekonomi hartanah, pelaburan saham, perladangan dan sumber lain.

Mekanisme ke arah merealisasikannya mungkin dapat diterajui oleh kuasa pemerintah kerana tujuan zakat bukan hanya untuk memberi wang kepada penerimanya tetapi untuk asnaf dan fakir miskin itu kemudiannya bangun sebagai pembayar zakat.

Dalam konteks itu, mungkin masanya telah tiba untuk kita mendapatkan pemikiran dan ijtihad ilmuwan agama dalam kepelbagaian bidang yang berkenaan bagi menjadikan tabung zakat sebagai satu permodalan yang lebih manfaatnya untuk pembangunan ekonomi Islam kerana zakat adalah ibadat yang difardukan ALLAH SWT, serentak dengan ibadat kerohanian dan roh manusia sejak permulaannya lagi.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia