X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu berpantang, bayi 14 hari antara mangsa banjir

Fairuz bersama bayinya, Farisha Humaira.
A
A

KUALA NERUS - Seorang ibu yang sedang berpantang dan bayi berusia 14 hari antara mangsa banjir di Taman Murni Permai di sini.

Fairuz Abdullah, 35, dan bayinya, Farisha Humaira serta suami, Shahril Othman, 33, bagaimanapun bernasib baik apabila sempat berpindah ke kediaman keluarga mereka di Kuala Terengganu.

Shahril ketika ditemui berkata, mereka mengambil keputusan untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Tok Jembal, di sini kerana isterinya masih berpantang.

"Anak kami juga mengalami sakit mata dan ada temu janji di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Lebih mudah jika menumpang sementara di rumah keluarga di Kuala Terengganu.

"Kami menyewa di sini sudah hampir tiga tahun tetapi kali ini boleh dikatakan banjir terburuk," katanya.

Bagi Zaitun Sulong, 55, berpindah ke PPS setiap kali musim tengkujuh ibarat 'rutin wajibnya'.

Dia yang sudah 30 tahun tinggal di kawasan perumahan itu berkata, boleh dikatakan lebih 20 kali dia dan suami, Abd Ghani Awang, 59, serta dua anaknya berpindah ke PPS setiap kali musim tengkujuh.

"Kami mula berpindah jam 9 malam tadi. Memang sudah biasa dengan banjir tetapi pergerakan kali ini agak terbatas kerana saya baru enam minggu menjalani pembedahan mata akibat katarak manakala suami pula lumpuh sebelah kiri badan selepas diserang strok pada April lalu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!