Husam cadang Presiden Pas letak jawatan

Husam Musa
Husam Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa memberi pandangan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu melepaskan jawatan susulan kegagalan memadamkan dakwaan Sarawak Report.

Katanya, jika bukan Abdul Hadi, pemimpin yang terlibat berhubung dakwaan penerimaan dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno perlu mengambil langkah serupa, meninggalkan parti secara terhormat.

“Dalam dunia pemikiran yang jernih, kegagalan mengambil peluang memadamkan dakwaan Sarawak Report, perlu diikuti oleh sesuatu tindakan.

ARTIKEL BERKAITAN:Hadi, Sarawak Report selesai kes saman luar mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN:Clare puas hati kes saman Pas selesai luar mahkamah

“Sama ada plaintif sendiri mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan secara terhormat atau pemimpin yang terlibat menerima sesuatu mengambil langkah mulia mengundurkan diri atau pemimpin dan ahli yang bermaruah mengusulkan sesuatu bagi memulihkan integriti parti. Dalam setengah keadaan, integriti Islam juga kerana parti berkenaan sentiasa mengasosiasi partinya dengan Islam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah dan Clare turut menarik balik Tuntutan Balas terhadap Ahli Parlimen Marang itu.

Kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Clare juga menjelaskan tidak menurunkan artikel berkenaan walaupun kes diselesaikan di luar mahkamah.

Dalam keyataan media sama, Husam turut menggunakan perkataan ‘takziah’ pada tajuknya, Saman Sarawak Report: Takziah Penyelesaian Tanpa Kesudahan.

“Takziah. Kepada siapa senandung takziah ini hendak disampaikan? Saya sendiri tidak pasti kepada siapa ucapan takziah ini hendak disampaikan.

“Takziah itu, akhirnya, saya berikan kepada diri saya sendiri, kepada rakyat yang pernah berharap, kepada penyokong yang penuh harap, kepada negara yang kehilangan alternatif lebih berkat dan kepada mereka yang kecundang dalam percaturan politik wang,” katanya.

Sebelum menyertai Amanah, Husam merupakan Naib Presiden Pas.