Belanjawan 2021 harapan besar rakyat

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November lalu. - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang memasuki minggu keempat bakal menjadi tumpuan berikutan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan akan membuat penggulungan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021) yang dijadualkan bermula hari ini.

Sesi undian belah bahagi pula akan berlangsung pada Khamis ini.

Pastinya besar harapan rakyat yang diwakili oleh ahli Parlimen agar beberapa perkara terutama dalam soal pekerjaan, bantuan, kemudahan di pelbagai peringkat dalam mengharungi kesan pandemik koronavirus (Covid-19) dapat dipinda.

Pada sesi perbahasan yang berlangsung bermula 9 November lalu, antara isu yang kerap dibangkitkan oleh ahli Parlimen ialah berkaitan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di mana pada pembentangan belanjawan pada 6 November lalu, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa seramai 600,000 pencarum terdiri daripada mereka yang diberhentikan kerja.

Isu tersebut banyak ditekankan dan diperjelaskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbahasannya di Dewan Rakyat dengan menyatakan bahawa sokongan terhadap belanjawan itu bersyarat dan berharap kerajaan menimbang cadangan bagi tujuan pindaan demi kebaikan rakyat.

Selepas itu, KWSP pada 16 November lalu mengumumkan perincian dan kelayakan akses ke akaun satu bagi kemudahan i-Sinar diperluaskan dengan melibatkan kira-kira 2 juta ahli dengan jumlah RM14 bilion disediakan.

Langkah tersebut dibuat bagi memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberikan cuti tanpa gaji dan tiada sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Seramai 82 ahli Parlimen telah mengambil bahagian pada sesi perbahasan peringkat dasar rang undang-undang itu yang berakhir Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Selain isu KWSP yang kerap ditekankan oleh pembahas, isu berkaitan dana kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menerusi belanjawan sebanyak RM85.5 juta wajar disalurkan kepada kumpulan-kumpulan lebih memerlukan iaitu petugas pasukan hadapan selain kakitangan Kementerian Kesihatan.

Ia berikutan anggota polis selaku petugas barisan hadapan tidak menerima peruntukan atau dana khas tersebut.Begitu juga pandangan agar ia digunakan untuk menambah baik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan agensi berkaitan agar lebih berkesan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Mereka berpendapat Jasa tidak ubah seperti kumpulan yang memainkan peranan menyampaikan propaganda politik.

Pada sesi perbahasan minggu lalu, Hassan Karim (Pasir Gudang-PH) menyatakan bahawa beliau tidak akan mengundi untuk menyokong Belanjawan 2021 sekiranya kerajaan tidak meminda peruntukan terhadap Jasa itu. Beliau sewaktu perbahasan turut menegaskan bahawa Belanjawan 2021 ibarat undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan.

Sekiranya belanjawan tersebut ditolak bermakna Perdana Menteri telah kehilangan sokongan daripada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun dalam suasana sekarang, soal meluluskan Belanjawan 2021 sangat penting tatkala negara sedang berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan langsung terutama terhadap ekonomi.Ia merupakan tanggungjawab semua ahli Parlimen untuk bersama-sama meluluskan belanjawan tersebut.

Dalam masa sama Muhyiddin berdepan dengan situasi sama ada perlu membuat pindaan seperti dibahaskan ahli Parlimen atau mengekalkan belanjawan seperti yang dibentangkan dengan kesan beliau mungkin dilihat ketara kehilangan sokongan.

Pada perbahasan minggu ketiga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan-PH) mencadangkan supaya Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri bersedia untuk memotong gaji sebanyak 10 peratus untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Katanya, langkah tersebut merupakan kepimpinan melalui teladan.

Beliau turut menuntut agar mana-mana wakil rakyat yang ini memegang jawatan Pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC atau GLIC) untuk memotong separuh daripada elaun atau yuran bagi disumbangkan kepada tabung berkenaan.

Jelasnya, semua wakil rakyat sudah mempunyai gaji dan apa salahnya elaun tersebut dipotong demi kebaikan negara serta rakyat.

Sudah pasti minggu keempat sidang Dewan Rakyat atau minggu penggulungan dan pengundian belah bahagian Belanjawan 2021 ini menjadi sesuatu yang sangat penting kepada rakyat yang menanti-nantikan perkembangan baharu dan ia turut menjadi situasi genting buat kerajaan Perikatan Nasional (PN).