Sidang Dewan Rakyat ditangguh, sesi kali ini tempa sejarah

Johari - Foto Bernama
Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Kedua Parlimen ke-15 ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sesi kali ini menempah sejarah tersendiri susulan buat pertama kali usul Laporan Ketua Audit Negara dibahas dan diluluskan.

“Mesyuarat kali ini juga meluluskan dua usul kertas putih iaitu Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 dan usul Kertas Putih Kesihatan yang dibawa oleh Kementerian Kesihatan serta meluluskan usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2020.

“Selain itu sebanyak sembilan rang undang-undang dan lima usul daripada pihak kerajaan berjaya diluluskan serta tiga penerangan daripada menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1) dapat dirundingkan dalam dewan yang mulia ini,” katanya dalam ucapan penangguhan sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu Johari memaklumkan, jawatankuasa-jawatankuasa khas juga telah selesai melantik pengerusi masing-masing melalui mesyuarat pada 20 dan 23 Mei 2023.

“Saya juga telah berjumpa dengan semua pengerusi jawatankuasa pilihan tersebut,” katanya.

Sebagai rekod, persidangan Dewan Rakyat telah berlangsung selama 11 hari bermula 22 Mei hingga 15 Jun 2023.