X

Kindly register in order to view this article
!

Utamakan produk tempatan

A
A

WALAUPUN pandemik koronavirus (Covid-19) masih melanda, kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi di negara ini tidak terjejas dengan teruk. Seperti tahun-tahun sebelum ini, pusat beli-belah di seluruh negara rancak mengadakan jualan akhir tahun.

Kehadiran pandemik Covid-19 seharusnya membuka mata rakyat di negara ini untuk mengutamakan produk Malaysia.

Banyak negara telah memulakan kempen untuk utamakan barangan tempatan mereka. Konsep ‘kita jaga kita’ bukan sahaja mengutamakan keselamatan tetapi juga memulihkan ekonomi negara.

Walaupun banyak lambakan barangan dari luar negara, masyarakat sepatutnya menyokong usaha kerajaan melancarkan kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Malaysia perlu ke arah mengutamakan produk tempatan untuk menampung keperluan dalam negara.

Apatah lagi dengan keterbatasan urusan import-eksport masa kini akibat Covid-19, negara ini perlu menstruktur kembali perkembangan ekonomi dengan mengutamakan house brand.

Dalam masa sama, pengguna juga perlu mengikis persepsi bahawa produk import lebih baik daripada barangan tempatan.

Di Malaysia, kita telah meletakkan standard atau kualiti barangan tempatan yang mematuhi standard atau piawaian SIRIM sebagai bukti produk mereka bermutu tinggi.

Ini juga lambang kepada kemegahan dan bukti barangan tempatan setanding dan sesetengahnya lebih baik daripada barangan import.

Sokongan rakyat Malaysia amat diperlukan untuk memastikan pengeluar dan pengusaha tempatan tidak terus di takuk lama.

Malangnya peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengembangkan produk dan syarikat tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan pulangan modal.

Siapa lagi yang menyokong barangan dan produk tempatan kalau bukan warga negara sendiri. Lebih-lebih lagi ketika masih bergelut memulihkan ekonomi.

Memandangkan kebanyakan barangan tempatan dihasilkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), maka sokongan pengguna merupakan usaha pemulihan ekonomi.

Apabila pengguna menyokong barangan tempatan, ia sebenarnya membantu syarikat-syarikat kecil terus beroperasi.

Tanpa sokongan dan pembelian barang tempatan berkemungkinan syarikat kecil terpaksa mengurangkan atau menghentikan pengeluaran sekali gus menjejaskan masa depan pekerja.

Keadaan ini menyebabkan ramai tiada pekerjaan atau syarikat terpaksa gulung tikar.

Pengguna juga perlu bijak dan meneruskan perbelanjaan mereka tetapi secara berhemah agar ekonomi Malaysia boleh terus dijana.

Menyokong barangan tempatan sebenarnya menyelamatkan banyak insan yang memerlukan bantuan.

Usaha ini menyebabkan pekerja tidak hilang pekerjaan, belia lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh mendapat pekerjaan.

Walaupun Malaysia menerima kesan teruk akibat Covid-19 dan keadaan ekonomi antarabangsa terus lembab, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan bantuan Prihatin.

Kerajaan telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan salah satu daripada inisiatif Penjana ialah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sebenarnya produk Malaysia bukanlah produk sampingan atau pilihan kedua rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu menyahut saranan kerajaan yang gigih mempromosikan produk tempatan. Setiap produk dan jenama tempatan sepatutnya menjadi pilihan pertama rakyat Malaysia.

Produk Malaysia juga tersenarai dalam pasaran atas talian. E-dagang telah membuka lebih banyak peluang kepada produk tempatan setanding dengan produk antarabangsa.

Kita mengharapkan peruncit membantu dalam menonjolkan produk Malaysia di rak-rak yang prominen dengan label produk Malaysia yang jelas supaya rakyat dapat menyokong dan membelinya.

Kriteria yang perlu diambil kira semasa memutuskan untuk membeli sesuatu barangan itu adalah keperluan, harga dan jenama.

Hakikatnya, tidak ada satu pun produk tempatan yang dihasilkan mengikut piawaian dan mendapat pensijilan kualiti di Malaysia dilapor mengecewakan pengguna.

Sebaliknya, kebanyakan aduan yang direkodkan, akibat pengguna tersalah beli barangan tiruan atau cetak rompak yang dikatakan produk tempatan.

Dengan menyokong produk tempatan, peningkatan R&D untuk menambah mutu produk dan perkhidmatan dapat dilaksanakan.

Selain itu, setiap perbelanjaan rakyat juga dapat membantu memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!