X

Kindly register in order to view this article
!

Rezeki kita untuk dikongsi

A
A

SEPANJANG hidup seorang manusia, pasti akan ada kerisauan. Antara kerisauan yang sering menghantui manusia adalah berkaitan rezeki.

Sememangnya persoalan rezeki mempunyai kesan yang amat besar dalam kehidupan manusia, lebih-lebih lagi ketika pandemik koronavirus (Covid-19) kini.

Antara solat sunat yang paling popular dalam kalangan umat Islam juga adalah berkaitan rezeki. Bukan salah tetapi itulah hakikatnya. Bahkan, jika kita lihat pada masyarakat yang percaya akan tok bomoh, tok pawang, pelaris, tangkal, dan sebagainya, kebanyakannya berkaitan rezeki. Ya, ada yang sanggup melakukan perkara khurafat demi rezeki mereka.

Setiap orang ada rezeki masing-masing di dunia ini sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah Hud, ayat 6 yang bermaksud, “Tidak ada satu makhluk pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin ALLAH rezekinya.”

Lebih banyak kita usaha, maka dengan izin ALLAH, lebih banyak rezeki yang akan dapat sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah an-Najm, ayat 39 yang bermaksud: “Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali yang dikerjakannya.”

Bagaimanapun, kita perlu tahu setiap rezeki yang kita peroleh, ada hak dan bahagian orang lain. Ia bukannya milik kita secara mutlak. Barangkali ia juga milik ibu dan bapa kita, adik-beradik, saudara mara, orang susah dan golongan asnaf yang memerlukan. Kita perlu kongsi. Yang kita kongsi itulah yang akan kekal dan berguna di akhirat kelak.

Setiap harta yang kita miliki, pastinya ada bahagian untuk orang lain yang lebih memerlukan sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 245 yang bermaksud, “Siapa yang memberi pinjaman pada jalan ALLAH, pinjaman yang baik (infak dan sedekah), maka ALLAH akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.

”Marilah kita sama-sama berkongsi rezeki kita dengan mereka yang memerlukan di sekeliling kita. Mungkin ada jiran tetangga yang kelaparan kerana sudah putus bekalan makanan ataupun orang sekampung yang kehabisan susu untuk diberikan kepada anak kecil sehingga perlu diganti dengan air sirap.

Usah menuding jari kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pusat zakat negeri kerana tidak membantu. Usah mengecam wakil rakyat atau penghulu kampung yang tidak sempat membantu.

Ada kalanya mereka dibantu tetapi masih tidak cukup. Anggaplah ini peluang bagi kita untuk menambah pahala.

Saya kagum dengan sikap dan cara kerja Ustaz Ebit Lew yang selalu menjadi antara orang pertama menghulurkan bantuan kepada golongan yang ditimpa musibah.

Bantuan beliau meliputi hampir setiap negeri dan golongan rakyat yang hidup dalam kesusahan.

Betapa Ustaz Ebit Lew berjaya mencetuskan gelombang kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat bahawa masih ramai yang lebih susah daripada kita dan memerlukan pelbagai bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Kita masih memerlukan lebih ramai lagi dermawan seperti Ustaz Ebit Lew kerana bilangan orang miskin yang memerlukan bantuan masih ramai di luar sana.

Jom kongsi rezeki kita dengan mereka yang memerlukan. Sesungguhnya dalam rezeki kita, ada hak orang lain.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!