‘Orang yang cakap besar akan kecewa’ - Anthony

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook membalas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang yakin mampu meraih sokongan sekurang-kurangnya 70 peratus undi terutama undi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut beliau, kenyataan yang dianggap ‘cakap besar’ itu hanya akan memberikan kekecewaan kepada dirinya selepas PRN kelak.

“Itu pandangan dia (Muhyiddin), ini kempen PRN mana-mana pihak boleh cakap apa sahaja.

“Yang penting jadi penentunya adalah rakyat, jadi sesiapa pun boleh cakap besar tapi saya rasa orang yang cakap besar itu biasanya akan kecewa,” katanya kepada media di lobi Parlimen pada Isnin.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, keyakinan itu berdasarkan kajian dan fakta menunjukkan gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan yang bakal bertanding PRN di enam negeri di Semenanjung berada di hadapan dari segi populariti dan kepemimpinan.

Ketika ini, katanya, rakyat sudah boleh menilai dan PRN akan datang bakal menjadi penanda aras baharu mengenai hala tuju masa depan politik negara.

Mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin tidak pernah mengarahkan ahlinya menyokong calon DAP, Anthony Loke berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu mungkin terlupa bahawa DAP pernah memberikan sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Dia mungkin sudah lupa, dia dulu pun bersama Pakatan Harapan (PH), dulu sudah tentu berkempen untuk DAP dan PH.

"Begitu juga DAP berkempen untuk dia di Parlimen Pagoh kalau bukannya pengundi-pengundi PH memberikan undi kepada beliau tidak mungkin beliau menang sebab masa PRU14 atas sokongan pengundi PH juga,” ujarnya.