X

Kindly register in order to view this article
!

'Macam dalam zon perang'

Kawalan ketat oleh anggota keselamatan di laluan masuk Zon B dan C Taman Meru 2C, Ipoh berikutan pelaksanaan PKPD.
A
A

IPOH - Ibarat berada dalam zon perang apabila kenderaan polis dan tentera saling berganti membuat rondaan setiap 5 minit.

Itu dirasai penduduk di kawasan Zon B dan C Taman Meru 2C, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Jumaat lalu.

Pelaksanaan perintah selama 14 hari itu membabitkan 579 rumah dengan 2,096 penduduk terlibat.

Pengerusi surau, Mohamad Najib Mat Lazim berkata, semua penduduk telah diberikan arahan untuk tidak berpeleseran di kawasan luar rumah.

"PKPD baru dua hari dilaksanakan, tetapi kami dah rasa macam dalam zon perang, apakan tidak selang 5 ke 10 minit, ada sahaja kenderaan polis dan tentera meronda di setiap jalan taman.

"Saya rasa dengan cara ini, tak beranilah penduduk nak keluar atau ingkar arahan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohamad Najib Mat Lazim
Mohamad Najib Mat Lazim

Beliau berkata, bekalan makanan kering mula diagih kepada penduduk di taman itu hari ini antaranya roti, gula, minyak masak, mi segera, sardin, susu, rempah, kicap dan sos.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD Taman Meru 2C: Jawatankuasa digerak agih bantuan

Katanya, agihan dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Dewan MBI Taman Meru itu dibuat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari rumah ke rumah lengkap dengan pemakaian pelindung diri.

"Proses agihan berjalan lancar, namun penduduk mengharapkan agar proses sama dapat dilakukan bagi bekalan barangan basah.

"Kami dimaklumkan penghantaran barangan makanan basah seperti ikan, ayam dan daging ini masih tidak dibenarkan.

"Jadi kami harap ada mekanisma yang dibenarkan untuk membolehkan pembekalan barang basah ini dihantar atau dijual oleh pihak tertentu," katanya.

Agihan barangan keperluan makanan kering dari rumah ke rumah oleh anggota keselamatan kepada penduduk Zon B dan C Taman Meru 2C, Ipoh hari ini.
Agihan barangan keperluan makanan kering dari rumah ke rumah oleh anggota keselamatan kepada penduduk Zon B dan C Taman Meru 2C, Ipoh hari ini.

Mohamad Najib berkata, terdapat juga dalam kalangan penduduk menyuarakan kebimbangan berkaitan barangan yang dibeli secara dalam talian sebelum PKPD dilaksanakan apabila kenderaan luar tidak dibenarkan masuk.

Katanya, keadaan itu menyebabkan barangan yang telah dibeli terpaksa dipulangkan semula kepada pembekal.

"Semalam pun ada dalam kalangan penduduk tidak dapat memasak kerana kehabisan gas dan perkara ini telah dalam tindakan pihak berkuasa supaya membenarkan lori penghantaran gas masuk bagi memudahkan rutin harian penduduk," katanya.

Barangan keperluan makanan kering yang diagih kepada penduduk Zon B dan C Taman Meru 2C, Ipoh hari ini.
Barangan keperluan makanan kering yang diagih kepada penduduk Zon B dan C Taman Meru 2C, Ipoh hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!