‘Mereka terlalu licik’

Keadaan di sekitar Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur yang menjadi tempat warga asing berniaga.
Keadaan di sekitar Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur yang menjadi tempat warga asing berniaga.
A
A
A

SELAYANG - Sikap licik peniaga warga asing yang memonopoli perniagaan serta mengawal harga sayur di pasar borong antara faktor penguatkuasaan tidak berkesan.

Pengerusi Persatuan Pemborong dan Penjaja Kecil Melayu Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur (PPPKMPHSKL), Abdul Aziz Mohamad Alias berkata, banyak aduan diterima dan ia bukan perkara baru.

Beliau berkata, perkara itu juga sudah dimajukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta beberapa agensi penguatkuasa lain, namun tindakan masih belum dapat menyelesaikan masalah.

Menurutnya, peniaga terbabit tiada tapak atau lesen berniaga dalam pasar harian tetapi mereka menjual sayur atau buah di sepanjang Jalan Selayang Baru.

Katanya, warga asing itu akan melarikan diri jika operasi penguatkuasa.

"Kedudukan Pasar Harian Selayang KL yang berada hampir dengan sempadan Selangor dijadikan 'alat' untuk peniaga warga asing ini mempermainkan anggota penguatkuasa kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Katanya, Jabatan Imigresen juga hadir, namun mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana ramai peniaga itu adalah warga Myanmar pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR).

Abdul Aziz berkata, Pasar Harian Selayang KL kini dalam proses pembinaan semula dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, peniaga tempatan yang memiliki lesen ditempatkan di bawah jambatan tidak jauh dari tapak pasar terbabit.

"Buat masa ini, kita terpaksa bertahan kerana belum ada mekanisme yang betul-betul dapat menghalang atau menyekat aktiviti perniagaan warga asing ini.

"Namun, selepas Pasar Harian Selayang KL yang baharu siap, kita akan susun semula dan bersihkan kawasan sini. Paling penting, kita tidak akan beri ruang kepada peniaga warga asing.

"Pelebaran jalan yang akan dibuat juga akan diusulkan kepada pihak berkaitan supaya menghadkan golongan ini berniaga di bahu-bahu jalan," katanya.