Majikan perlu sertai Pelan Rekalibrasi PATI: Peka

Zuhairi Ab Kadir
Zuhairi Ab Kadir
A
A
A

KUANTAN - Majikan perlu menyertai Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Presiden Pertubuhan Kebajikan Manusia Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir berkata, pelan itu mampu memberi kesan positif kepada empat sektor utama iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian yang semakin sukar untuk mendapatkan tenaga kerja asing.

Menurutnya, pelan itu akan membantu majikan untuk memulihkan sektor terbabit sekaligus merancakkan ekonomi negara.

"Peka sokong penuh tindakan kerajaan melaksanakan Pelan Rekalibrasi PATI dan ia satu langkah tepat kerana ketika ini empat sektor terbabit sukar mendapat khidmat pekerja asing," katanya.

Kelmarin, kerajaan melancarkan Pelan Rekalibrasi PATI merangkumi dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang akan dilaksanakan bermula 16 November hingga 30 Jun 2021 kepada PATI yang ada di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kepada PATI yang menyertai Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI).

“Menerusi program berkenaan, setiap PATI yang berminat perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan dan segala urusan berhubung permit kerja dibantu Peka.

Artikel Berkaitan:

“Selepas memperoleh permit kerja, PATI boleh bekerja dengan aman tanpa rasa bimbang kerana susah memiliki permit kerja yang sah," katanya.

Beliau menjelaskan selepas 30 Jun tahun hadapan, Jabatan Imigresen melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran.

Katanya, justeru kepada majikan dan PATI terutama membabitkan sektor utama iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian, ambillah peluang sertai Pelan Rekalibrasi PATI.