Banjir: 246 penduduk dipindahkan di Perak

Banjir di Perak menyaksikan seramai 246 penduduk di tiga daerah dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara sejak kelmarin.
Banjir di Perak menyaksikan seramai 246 penduduk di tiga daerah dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara sejak kelmarin.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Seramai 246 mangsa banjir di tiga daerah di Perak dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) sejak kelmarin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata, daerah Kerian mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 142 orang melibatkan 11 kampung.

Menurutnya, kawasan yang dinaiki air di daerah itu ialah Kampung Tebuk Panchur, Kampung Alor Setanggok, Kampung Tanjung Bugis, Kampung Parit Air Hitam 2, Kampung Parit Air Hitam 3, Kampung Ban Pisang, Kampung Padang Lalang, Kampung Parit Abu Hassan Ban, Kampung Parit Ali Kalang, Kampung Parit Mat Keling dan Kampung Lebai Kadir.

"Kesemua mangsa ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai yang dibuka awal pagi semalam," katanya.

Kata kenyataan itu, daerah Larut Matang dan Selama pula mempunyai dua PPS yang dibuka masing-masing di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ara, Batu Kurau dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim, Matang.

"Seramai 55 mangsa banjir yang masih ditempatkan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ara, Batu Kurau sejak dibuka pada 19 November lalu, manakala bagi PPS di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim, Matang, hanya menempatkan 34 penduduk Kampung Sungai Rentaka," katanya.

Katanya, sebuah lagi PPS yang masih dibuka ialah di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap di daerah Hilir Perak.

"PPS yang dibuka pada Khamis lalu itu menempatkan seramai 15 mangsa dari Kampung Belakang Kilang Kacang dan Lorong Bendera 1, Kampung Sungai Tukang Sidin," katanya.

Artikel Berkaitan: