Waspada akaun palsu di media sosial

Pengguna diingatkan berwaspada terhadap akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan. - Foto 123RF
Pengguna diingatkan berwaspada terhadap akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan.

Dalam kenyataannya hari ini, SKMM berkata, selain mencetuskan permusuhan, perpecahan dan suasana tidak tenteram melalui hasutan, akaun palsu juga digunakan bagi tujuan kegiatan penipuan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit saban tahun.

Katanya, terdapat beberapa ciri akaun palsu yang dikenal pasti setakat ini, antaranya ialah akaun baharu kerap diwujudkan bagi tujuan mengaburi jejak pihak berkuasa atau pembongkaran oleh mangsa penipuan sebelum ini.

“Nama pemilik akaun seolah-olah bukan nama sebenar. Kebanyakan nama yang digunakan ialah nama samaran atau nama orang terkenal, sementara maklumat peribadinya juga dikatakan meragukan kerana biodata tersebut disembunyikan bahkan tidak realistik.

“Gambar profil tidak berkaitan dengan identiti kerana gambar yang digunakan berbentuk abstrak atau dicuri daripada profil orang lain. Sila guna carian Google Images untuk mengesan gambar lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, SKMM berkata, senarai rakan yang terlalu sedikit juga antara ciri akaun palsu yang dikenal pasti.

Katanya, akaun palsu tersebut mempunyai senarai rakan yang sedikit ataupun tiada langsung kerana tujuan akaun dibuka bukan untuk perkenalan jangka panjang.

“Kemungkinan akaun dalam senarai rakan adalah akaun palsu. Bahkan aktiviti akaun juga tiada langsung kisah berkaitan peribadi malah terlalu sedikit catatan dinding.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan kandungannya hanya perkongsian ulasan dan bahan yang diambil atau dikongsi daripada orang lain,” katanya.

Dalam kenyataan sama, SKMM berkata, tanda suka (likes) atau pengikut (follower) juga dikatakan tidak seimbang.

“Terlalu banyak 'likes' hantaran orang lain di pelbagai topik dan kumpulan berbanding 'likes' di halaman sendiri.

“Sering terperam untuk tempoh yang tertentu dan ia aktif sekali-sekala serta kadang-kala dinyahaktif,” jelas SKMM.

Sehubungan itu, SKMM menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati jika terdapat lebih daripada satu ciri yang dinyatakan itu ketika berurusan melalui akaun media sosial yang baru dikenali terutama jika melibatkan transaksi kewangan atau aktiviti jual beli.

Katanya, penjenayah siber dikesan menggunakan pelbagai taktik licik untuk menjalankan penipuan termasuk ada yang menyamar menggunakan profil ahli keluarga, kenalan mangsa, orang kenamaan atau individu serta syarikat terkenal.

“Selain itu, jauhkan diri daripada memperkatakan isu sensitif berkaitan agama, kaum, institusi diraja dan politik yang cuba diapi-apikan oleh pemilik akaun palsu.

“Langkah ini dapat melindungi orang ramai daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dengan kenyataan berunsur fitnah, hasutan atau menggugat ketenteraman awam,” ujar SKMM.

Tegasnya, pihak SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain yang berkaitan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat salah guna internet dan media sosial untuk tujuan jenayah atau hasutan.

Tambahan pula, katanya, bantuan teknikal dan pangkalan data turut diperoleh daripada agensi antarabangsa khususnya Interpol bagi mengesan penjenayah siber.

“Orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan peka kepada percubaan menipu oleh mereka yang tidak mempedulikan undang-undang dan ketenteraman awam,” katanya.