SKMM siasat aduan perkongsian lucah di media sosial

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan siasatan berhubung perkongsian kandungan lucah membabitkan hubungan seks suami isteri yang tular di laman sosial baru-baru ini.

SKMM dalam satu kenyataan ringkas berkata, suruhanjaya itu telah menerima sejumlah lapan aduan berhubung dengan perkongsian intim hubungan suami isteri di platform media sosial.

Menurut kenyataan itu, perkongsian tersebut dibuat menerusi saluran media sosial daripada seorang pemilik akaun Telegram.

"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998)," kata kenyataan itu pada Khamis.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengemukakan aduan rasmi kepada MCMC berhubung kewujudan akaun Telegram yang membincangkan topik lucah kendalian seorang wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan perkara itu sedang dalam tindakan serta siasatan lanjut MCMC.

Malah pihak Jakim juga telah dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi membolehkan satu siasatan dilakukan, ekoran suspek menetap di Terengganu.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita yang didakwa menyebarkan fahaman menyimpang daripada syarak berkaitan perhubungan suami isteri dan menggunakan platform kumpulan Telegram untuk menyebarkan dakyah itu.

Antara dakyah dipromosikan oleh wanita itu adalah menyuruh suami merogol isteri dan isteri melayani suami umpama pelacur, selain terdapat kiriman di dalam kumpulan Telegram itu yang menyuruh para suami menyakiti isteri jika enggan melayani mereka.