Pendaftaran SSM BizTrust dilanjutkan

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

TEMPOH pendaftaran SSM BizTrust dilanjutkan secara percuma sehingga 31 Disember depan berikutan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam proses penambahbaikan sistem.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lanjutan itu mengambil kira pertumbuhan bidang teknologi dan perniagaan e-Dagang serta kesedaran masyarakat yang telah mengadaptasi norma baharu ke arah era digitalisasi.

Menurutnya, SSM BizTrust merupakan simbol pengiktirafan dan piawaian kualiti yang ditawarkan kepada sesebuah entiti perniagaan yang dikawal selia oleh SSM.

"Ia dengan syarat entiti tersebut mematuhi prinsip dan kriteria yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peniaga dalam talian yang layak dan berjaya memperoleh pensijilan SSM BizTrust akan dapat memaparkan Logo (seal) SSM BizTrust pada laman sesawang, media sosial atau blog perniagaan mereka.

"Pendaftaran percuma ini memperlihatkan komitmen kerajaan bagi membantu meningkatkan ekosistem perniagaan atas talian yang sihat dan beretika sekali gus meyakinkan pengguna untuk berurus niaga dengan selamat.

"Usaha itu juga dapat melindungi pengguna daripada penipuan urusniaga atas talian atausecara fizikal," katanya.

Alexander berkata, berdasarkan data sehingga 30 Oktober, sebanyak 4,181 entiti perniagaan atas talian telah berdaftar dengan SSM BizTrust.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah entiti perniagaan yang didaftarkan sepanjang tahun ini pula sebanyak 629," katanya tetapi bilangan itu masih kecil iaitu hanya 1.12 peratus daripada 373,213 peniaga atas talian yang direkodkan SSM.

"Ini belum termasuk peniaga atas talian yang bergerak secara bersendirian dan tidak memasarkan produk mereka di

platform market place yang ternama," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai peniaga dalam talian menyahut peluang tersebut dengan mendaftarkan menerusi portal https://biztrust.ssm.com.my.

"SSM dan KPDNHEP juga akan melaksanakan advokasi berterusan agar pengguna yang hendak menjalankan transaksi atas talian membuat semakan terlebih dahulu dan memastikan hanya melakukan urusniagadengan syarikat-syarikat yang telah diiktiraf dan memiliki logo BizTrust.

"Ini penting untuk melindungi pengguna daripada dimanipulasi peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya.