SPRM digesa siasat mantan Setiausaha Kehormat KFA

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid (tengah) bersama Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Abdul Hadi Omar (kiri) dan Exco Pemuda Pas Kedah, Mohd Hanifi Jamaluddin (kanan) menunjukkan laporan sebuah akhbar berkaitan selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Pejabat SPRM Kedah, di sini, hari ini.
Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid (tengah) bersama Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Abdul Hadi Omar (kiri) dan Exco Pemuda Pas Kedah, Mohd Hanifi Jamaluddin (kanan) menunjukkan laporan sebuah akhbar berkaitan selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Pejabat SPRM Kedah, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris berkaitan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pengurusan persatuan itu.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, pihaknya membuat laporan kepada SPRM susulan isu berkaitan dana tabung CAS KFA, penajaan Chenang Bay dan penyata gaji pemain pasukan bola sepak Kedah.

Nurul Amin berkata, laporan SPRM dibuat berdasarkan maklumat diperoleh beberapa sumber termasuk pendedahan Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya,Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Salim Mahmood pada Sidang Dun Kedah baru-baru ini.

"Mohd Firdaus mendedahkan wang penerimaan dana tabung CAS KFA ialah sebanyak RM10,411.23 sahaja sekali gus bercanggah dengan jumlah kutipan RM50,000 dinyatakan Asmirul menerusi laporan satu portal dalam talian tahun lepas.

"Ia juga bertentangan dengan kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyatakan dana tabung CAS KFA sebanyak RM50,000 telah habis dibelanjakan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan SPRM di Pejabat SPRM Kedah, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengurusan KFA terdahulu tipu penyata gaji pemain

Sehubungan itu, katanya Pemuda Pas Kedah menggesa siasatan lanjut SPRM terhadap ADUN Kubang Rotan itu dan pihak yang terlibat.

Beliau berkata, pihaknya juga kesal dengan kenyataan Asmirul yang didakwa menyalahkan beberapa pihak termasuk media yang didakwa salah tafsir dengan kenyataannya berkaitan kutipan dana itu sebelum ini.

Nurul Amin berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian kerana melibatkan duit orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, orang ramai ingin mengetahui ke manakah baki lebih kurang RM39,000 dari keseluruhan jumlah RM50,000 wang dana tabung CAS KFA itu kerana ia tidak dinyatakan dengan jelas,"katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris mencabar KFA melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pengurusan KFA terdahulu.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah satu tohmahan dan dia bersedia untuk memberi kerjasama jika diperlukan kerana sangat menekankan nilai integriti dalam pengurusan KFA sebelum ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mendedahkan pihaknya berjaya mengesan penipuan penyata gaji pemain skuad Lang Merah yang dilakukan pengurusan KFA terdahulu sehingga menyebabkan persatuan berkenaan menanggung hutang hampir RM5 juta kepada dua badan berkanun.