Najib, dua anak lelaki rayu keputusan kes cukai RM1.74 bilion

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan dua anak lelakinya membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membabitkan kes saman tunggakan cukai pendapatan keseluruhan berjumlah RM1.74 bilion.

Pengurusan kes bagi rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu menerusi prosiding e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron akan disebut pada 16 Disember depan.

Najib, 67, sebelum ini, dikehendaki membayar tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion manakala anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, 37, sebanyak RM37.6 juta dan Datuk Mohamad Nizar, 42, berjumlah RM13.16 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu perlu membayar tunggakan cukai bagi tempoh antara 2011 dan 2017 itu kepada kerajaan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan penghakiman terus (tanpa perlu dibicarakan).

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati jumlah tunggakan berkenaan perlu dibayar sebagai hutang kepada kerajaan mengikut Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan.

Mahkamah juga tidak boleh memenuhi permohonan Najib selaku defendan untuk mendengar rayuan bagi jumlah tunggakan yang dipertikaikan itu.

Bagaimanapun, Najib boleh mengemukakan rayuan berhubung jumlah yang dipertikaikan itu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Selain Najib, dua anaknya juga perlu membayar jumlah tersebut kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan Shah Alam membenarkan permohonan LHDN untuk membuat keputusan ringkas terhadap mereka.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masing-masing pada 22 Julai dan 7 Julai, sementara perintah terhadap Mohamad Niza oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 November.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada isu yang boleh dibicarakan dan tuntutan LHDN terhadap plaintif tidak terikat oleh tempoh masa.

Ia juga memutuskan bahawa mengikut undang-undang, seseorang individu yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran terlebih dulu sebelum mengemukakan rayuan kepada SCIT.