Masih ada tadika swasta tidak berdaftar

Najmi ketika menjawab soalan lisan di persidangan DUN Kedah hari ini.
Najmi ketika menjawab soalan lisan di persidangan DUN Kedah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Semua Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) termasuk yang dikendalikan di bawah parti politik seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dipantau supaya mematuhi spesifikasi ditetapkan terutama aspek keselamatan.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, bagaimanapun masih terdapat tadika swasta tidak berdaftar sama ada di bawah Kementerian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) atau Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menurutnya, kebanyakan pengusaha tadika gagal berbuat demikian disebabkan beberapa masalah teknikal dan pihaknya bersedia mempertimbangkan tindakan lebih rasional agar kanak-kanak di kawasan terlibat tidak terpinggir daripada kemudahan itu.

“Kita sentiasa pantau semua kategori tadika kerana mereka tertakluk di bawah peraturan yang sama untuk beroperasi, cuma bentuk tindakan yang dikenakan diberikan pertimbangan sewajarnya selain berlandaskan undang-undang.

"Keutamaan kita adalah berikan nasihat dan panduan agar mereka segera mendaftar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zamri Yusuf (PKR -Suka Menanti) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Najmi berkata, antara kesalahan yang sering dilakukan pengurusan tadika ialah permit tamat tempoh bagi tadika swasta, selain tidak memenuhi syarat jabatan bomba, kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti gagal memperoleh sokongan disebabkan ketiadaan tangga kecemasan di luar bangunan.

“Kesalahan lain termasuk tadika swasta yang tidak berdaftar dengan kementerian atau JHEAIK yang menjalankan pengajaran pendidikan Islam,” katanya.

Menurutnya, antara tindakan ke atas pengusaha swasta yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri adalah dengan memberi nasihat agar segera mendaftar dan sekiranya enggan berbuat demikian dikenakan kompaun bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Bagi pengusaha swasta yang menjalankan pusat pengajian pra sekolah pengajaran pendidikan Islam, yang tidak berdaftar bawah JHEAIK boleh dikenakan tindakan disebabkan gagal mendaftar.

Artikel Berkaitan:

“Namun JHEAIK sentiasa berikan nasihat kepada pengusaha swasta supaya mendaftarkan pusat pengajian mereka untuk dikawal bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Kedah 1988,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) berkaitan terdapat tadika Islam gagal penuhi syarat mendaftar disebabkan institusi berkenaan lebih berorientasikan kebajikan, Najmi tidak menolak kemungkinan itu.

“Kita akur memang ada perkara teknikal seperti itu menjadi penghalang namun mereka masih perlu patuh pada peraturan,” katanya.