Dadah RM10.2 juta dilupus

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM10.2 juta hari ini.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM10.2 juta hari ini.
A
A
A

AMPANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM10.2 juta hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, pelupusan tersebut dilakukan di Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Pelupusan ini melibatkan eksibit dadah yang telah selesai dan pesalah telah dijatuhkan hukuman bermula dari tahun 2015 hingga 2019.

"Dadah yang dilupuskan ialah heroin 1.57 kilogram (kg), ganja (265.3 kg), syabu (22.52 kg), ketamin (5.1 kg), eramin 5 (113.68 kg) serta cecair ketum seberat 893.3 liter dan lima buah mesin memproses dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, bagi tempoh tahun ini sehingga Oktober, seramai 228 individu telah diambil tindakan di bawah pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah.

Menurutnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952.

Katanya, bagi pembanterasan ke arah pengurangan permintaan memiliki dadah pula, seramai 599 individu telah dikenakan tindakan.

"Ini diambil di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 9 ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: