Kegiatan port transit dadah RM3.4 juta di inap desa terbongkar

Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dibungkus dalam bungkusan kopi dan teh yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPD Pontian pada Ahad.
Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dibungkus dalam bungkusan kopi dan teh yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPD Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Kegiatan sindiket yang menjadikan sebuah inap desa sebagai 'port' transit dadah berjaya dipatahkan menerusi serbuan di Ayer Baloi dan Tangkak pada Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima suspek lelaki termasuk seorang tekong warga asing berusia antara 23 hingga 53 tahun diberkas dalam operasi yang dijalankan bermula jam 8.45 hingga 10 malam.

"Sebanyak 62 peket mengandungi 64.89 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 58,626 biji pil ekstasi seberat 17.58kg berjaya dirampas hasil serbuan dilakukan.

"Jumlah rampasan dadah bernilai keseluruhan RM3.43 juta. Selain itu, dua bot fiber, lima kenderaan termasuk sebuah motosikal dan wang tunai dirampas dan nilai sitaan berjumlah RM248,860," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini pada Ahad.

Jelas Kamarul Zaman, sindiket terbabit menggunakan modus operandi menyewa inap desa di kawasan kampung berhampiran persisir pantai untuk dijadiakan tempat menyimpan dadah.

"Sindiket turut menggunakan khidmat tekong laut yang menggunakan laluan tikus untuk membawa bekalan dadah yang diseludup ke negara jiran.

"Dadah syabu turut dibungkus dalam bungkusan kopi dan teh. Siasatan yang dilakukan mendapati sindiket aktif sejak Januari lalu," katanya.

Ujarnya, dua daripada suspek didapati positif dadah, kesemuanya ditahan tujuh hari sehingga 11 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Salah seorang suspek lelaki warga asing berusia 53 tahun yang ditahan itu merupakan tekong laut.

"Suspek berkenaan juga merupakan orang dikehendaki polis negara jiran itu kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah," katanya.