[VIDEO] PDRM guna sistem penggiliran elak kes rasuah: Ketua Polis Negara

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penggiliran pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memegang jawatan penting akan dibuat dalam tempoh tiga tahun sekali bagi memastikan tahap integriti yang tinggi dan mengelakkan kes rasuah serta salah guna kuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau mahu memberikan tumpuan serius terhadap usaha meningkatkan integriti dalam kalangan anggota polis.

Menurutnya, beliau sudah membincangkan mengenai penggiliran jawatan tersebut dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan juga pengarah-pengarah.

“Terdapat beberapa jawatan dalam PDRM yang dikatakan sensitif di mana sekiranya tidak dipantau ataupun seseorang itu tidak mempunyai integriti, amalan rasuah akan terus berleluasa. Maka akan berlakulah penguatkuasaan undang-undang yang lemah di situ.

“Jadi, saya telah membuat keputusan untuk buat penggiliran tugas dengan lebih kerap lagi. Sebagai contoh, jika seseorang itu sudah berada di sesuatu jawatan itu selama tiga tahun, saya akan pendekkan lagi supaya memberikan peluang kepada yang lain,” katanya kepada Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Terdahulu, Abdul Hamid hadir ke Kumpulan Karangkraf bagi menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin kelmarin.

Pertemuan itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Pengarang Eksekutif (Cetak), Azmi Tarmizi.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, sekiranya ada antara pegawai polis terbabit yang terpalit dengan isu integriti, maka proses penggiliran itu akan dipercepatkan dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid (empat dari kiri) melawat Karangkraf Medicare di Shah Alam semalam. Beliau ditemani Hussamuddin (lima dari kanan) dan Muhammad Nasir (empat dari kanan).
Abdul Hamid (empat dari kiri) melawat Karangkraf Medicare di Shah Alam semalam. Beliau ditemani Hussamuddin (lima dari kanan) dan Muhammad Nasir (empat dari kanan).

“Pertukaran mereka ini bukan untuk menyelesaikan masalah, itu hanyalah permulaannya. Selepas itu nanti barulah siasatan itu menjurus ke atas salah laku dan mungkin akan didakwa di mahkamah.

“Kita ambil pendekatan untuk mendakwa mereka yang telah melakukan kesalahan tersebut,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pegawai yang terlibat dengan pertukaran tidak seharusnya menganggap ia sebagai satu hukuman.

“Itu hanyalah tindakan pertama untuk meneutralkan masalah yang ada untuk menghentikan kerosakan. Jadi saya ambil tindakan segera untuk tukarkan, menggantikan dengan pegawai yang lain.

“Dalam pada itu, siasatan dilakukan seterusnya ke atas perbuatan salah laku untuk tujuan pendakwaan,” katanya.

Isnin lalu, pegawai kanan PDRM antara yang diambil tindakan berikutan disyaki ada kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Pada bulan lalu, seramai 34 pegawai kanan polis di seluruh negara dipindahkan disebabkan masalah integriti setelah mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Hussamuddin (kanan) menyampaikan pelitup muka keluaran Karangkraf Medicare kepada Abdul Hamid ketika kunjungan Ketua Polis Negara itu ke Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. Turut serta, Muhammad Nasir (kiri).
Hussamuddin (kanan) menyampaikan pelitup muka keluaran Karangkraf Medicare kepada Abdul Hamid ketika kunjungan Ketua Polis Negara itu ke Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. Turut serta, Muhammad Nasir (kiri).


KRONOLOGI KES PENAHANAN ANGGOTA, PEGAWAI POLIS TERLIBAT KES RASUAH DAN SALAH GUNA KUASA


10 November 2020

Tiga anggota polis cawangan trafik berpangkat sarjan dan koperal di negeri Selangor direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bernilai RM500.

Mereka dikatakan menerima rasuah daripada seorang pemandu van yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

31 Oktober 2020

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan, Sabah menahan dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal masing-masing berusia 57 tahun dan 35 tahun, selepas disyaki meminta rasuah sebanyak RM5,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dua individu yang memiliki barangan terlarang.

7 Oktober 2020

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam. Turut dirampas wang tunai RM100,000.

8 September 2020

Dua anggota dan seorang pegawai polis berpangkat koperal dan inspektor di Alor Setar, Kedah direman seminggu kerana dipercayai meminta dan menerima suapan sebanyak RM8,000 daripada seorang individu yang disyaki pengedar dadah pada Julai lalu.

10 Mac 2020

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan 12 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang oleh pihaknya kerana dipercayai menerima rasuah dan terlibat dalam kes salah guna kuasa.

19 Februari 2020

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penahanan empat anggotanya kerana disyaki memeras wang RM3 juta daripada sindiket dadah sebagai dorongan untuk melindungi sebuah makmal dadah di Cheras, Kuala Lumpur.