Pilihan raya perlu dielakkan: Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendapat adalah penting untuk mengelakkan sebarang pilihan raya diadakan buat masa ini bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM sememangnya daripada awal lagi amat bimbang sekiranya pilihan raya diadakan sama ada ia melibatkan pilihan raya kecil, negeri mahupun umum.

Beliau berkata kebimbangan itu terbukti apabila peningkatan kes positif yang dilaporkan di Sabah susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri tersebut.

“Selepas PRN Sabah kita boleh lihat peningkatan kes dan ia menyukarkan usaha kita membendung penularan Covid-19.

“Kalau boleh, amat penting kita mencegah satu lagi pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di KKM hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian bagi mengulas pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember 2020.

ARTIKEL BERKAITAN:Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya sama ada pertambahan kes di beberapa kluster seperti Kluster Hentian di Lembah Klang, Kluster Tembok, Kedah dan Kluster Penjara Sandakan, Sabah adalah kes sampel tertunggak, Dr Noor Hisham berkata, ia adalah hasil saringan berkala yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dipertingkatkan bagi mencegah penularan Covid-19.

Beliau berkata, di Penjara Sandakan contohnya, kes positif baharu dikesan semasa saringan kali kedua selepas proses kuarantin atau saringan sebelum seseorang banduan dipindahkan atau dibebaskan.

"Sekarang kita telah mengenal pasti penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing juga, jadi kita tingkatkan saringan di tapak-tapak pembinaan, kilang dan sebagainya. Jadi kita mohon majikan supaya memberi kerjasama untuk menjalankan saringan," katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata peningkatan mendadak kes positif Covid-19 pada tarikh-tarikh tertentu adalah hasil saringan yang dijalankan apabila sesuatu kluster baharu dikenal pasti seperti Kluster Damanlela di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

"Apa yang pasti, kalau kita dapat kenal pasti kluster dan jalankan aktiviti pengesanan, insya-ALLAH akan dapat dikawal.

“Apabila kita jalankan saringan, kes akan meningkat sebagaimana kita lihat di penjara. Jadi kes seakan-akan melonjak tetapi tidak berkekalan, meningkat kerana saringan yang dijalankan," katanya.