221 majikan terima bantuan Program Subsidi Upah gulung tikar

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 221 majikan yang menerima bantuan Program Subsidi Upah telah menutup perniagaan mereka setakat ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) merekodkan jumlah mereka yang hilang pekerjaan pula dari 2,713 syarikat berstatus SME yang telah menutup perniagaan.

Menurutnya, jumlah yang direkodkan itu adalah sepanjang Mac 2020 sehingga 30 Oktober lalu.

"Berhubung kemuflisan atau kebankrapan individu akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dari Mac sehingga Oktober 2020, Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak mempunyai rekod berkaitan dan ianya terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Insolvensi Malaysia," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) berhubung bilangan syarikat yang menerima bantuan Program Subsidi Upah dan terpaksa gulung tikar serta bilangan penutupan SME dan kemuflisan individu akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Saravanan turut memaklumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima 388 kes aduan oleh pekerja terhadap majikan yang menyalahgunakan bayaran Program Subsidi Upah melibatkan dana hampir RM 20 juta setakat ini.

Katanya, jumlah itu direkodkan sejak program berkenaan mula diperkenal sehingga 11 November lalu.

"Dalam perkembangan sama, Perkeso akan menggantung pembayaran kepada majikan yang disyaki membuat tuntutan palsu sehingga siasatan ke atas aduan tersebut selesai.

Artikel Berkaitan:

"Dalam menangani masalah tuntutan palsu ini juga, Perkeso telah mengambil tindakan ke atas sebahagian majikan yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.