Industri nanas maju, dinamik

Abdul Rahman menunjukkan tanaman nanas MD2 yang diusahakannya di Kampung Parit Panjang, Pontian.
Abdul Rahman menunjukkan tanaman nanas MD2 yang diusahakannya di Kampung Parit Panjang, Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) terus mempergiatkan usaha untuk menjadikan sektor penanaman nanas lebih moden dan dinamik menerusi pelbagai program dan bantuan.

Pengerusinya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, LPNM sentiasa membantu kira-kira 5,000 pengusaha nanas yang terdiri daripada pekebun, usahawan industri asas tani (IAT), pemasar, pengangkut, penjual dan pengeksport.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan di atas penyaluran peruntukan sebanyak RM42.39 juta menerusi Belanjawan 2021 kepada LPNM bagi bajet mengurus dan pembangunan.

Selain itu, katanya, LPNM juga menerima peruntukan RM9 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) di bawah kerajaan negeri Johor.

“Diharapkan lebih ramai anak muda menyertai industri penanaman nanas kerana LPNM banyak membantu, bermula daripada anak benih, baja dan sebagainya.

“Malah, pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini, kita juga ada memberi bantuan. Kita akan bantu semampu yang boleh supaya lebih ramai terlibat dalam penanaman nanas,” katanya di sini pada Ahad lalu.

Abdul Rahman menunjukkan tanaman nanas MD2 yang diusahakannya di Kampung Parit Panjang, Pontian.
Abdul Rahman menunjukkan tanaman nanas MD2 yang diusahakannya di Kampung Parit Panjang, Pontian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat ladang nanas dan kilang pemproses produk industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan nanas serta kios menjual nanas di Pontian dan Johor Bahru. Turut serta Ketua Pengarah LPNM, Ruhaida Mashhor.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Sahruddin berkata, LPNM turut cakna membantu pengusaha tanaman nanas ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu seperti musim tengkujuh yang dijangka bermula hujung tahun ini.

“LPNM menyediakan bantuan tabung bencana seperti banjir dan kemarau sebanyak RM2,500 bagi tanaman nanas dengan keluasan satu hektar dan paling maksimum empat hektar.

“Bantuan diberikan dalam bentuk infrastruktur, peralatan dan input pertanian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi memperluas dan memudahkan capaian pengguna untuk mendapatkan produk nanas, LPNM akan bekerjasama dengan syarikat e-dagang seperti Shopee yang dijangka bermula Disember ini.

Nur Eleena ( kiri) dan Ruhaida (kanan) memperkenalkan produk Josa Pine kepada Dr Sahruddin ketika lawatan beliau ke Kampung Parit Selangor, Pontian pada Ahad lalu.
Nur Eleena ( kiri) dan Ruhaida (kanan) memperkenalkan produk Josa Pine kepada Dr Sahruddin ketika lawatan beliau ke Kampung Parit Selangor, Pontian pada Ahad lalu.

Setakat ini, tanaman nanas di seluruh negara merangkumi kawasan seluas 16,000 hektar dengan Johor sebagai negeri terbesar yang menyumbang sebanyak 58 peratus daripada keluasan tanah diikuti Sarawak, Pahang dan Sabah.

Justeru, sebagai negeri terbesar yang mempunyai tanaman nanas, Johor memiliki ramai pengusaha tanaman nanas berjaya, antaranya Abdul Rahman Amat, 54, dari Kampung Parit Panjang, Pontian.

Abdul Rahman semasa ditemui pemberita berkata, beliau mengusahakan tanaman nanas di atas tanah seluas kira-kira tiga hektar dengan nanas variati MD2 paling banyak ditanam dan mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Katanya, LPNM banyak memberikan bantuan dari segi khidmat nasihat dan baja sejak beliau menceburi bidang penanaman nanas pada tahun 2015.

“Pada peringkat awal, saya cuma tanam nanas MD2 sebanyak 80 pokok, kemudian dengan bimbingan LPNM, saya melangkah ke depan dengan memperluaskan lagi tanaman nanas.

“Pastinya tanaman nanas tidak terlepas daripada cabaran termasuk cuaca terlalu panas yang boleh mengganggu pembesaran buah nanas.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana LPNM memberikan nasihat kepada saya untuk mengatasi masalah itu,” katanya.

Dr Sahruddin (tengah) dan Mohamad Yami (kiri) melihat produk yang dijual di kios Melita di Galleria@Kotaraya, Johor Bahru.
Dr Sahruddin (tengah) dan Mohamad Yami (kiri) melihat produk yang dijual di kios Melita di Galleria@Kotaraya, Johor Bahru.

Jelas Abdul Rahman lagi, beliau kini memasarkan buah nanas segar secara dalam talian pada musim PKPB ini bagi memudahkan pengguna mendapatkan buah nanas dan seterusnya meraih pendapatan.

Seorang lagi usahawan produk IKS berasaskan nanas, Nur Eleena Sadikon, 29, berkata, syarikat Josa Pine yang diusahakan oleh ibu bapanya sejak tahun 2006 turut memperoleh bantuan daripada LPNM.

Katanya, sehingga kini pelbagai dana bantuan diterima merangkumi bantuan infra dan peralatan kilang serta mesin.

“LPNM sangat membantu bukan sahaja dari segi peralatan tetapi juga memberi bimbingan seperti kursus usahawan, multimedia dan akaun.

“Sehingga kini kilang saya yang terletak di Kampung Parit Selangor, Pontian mengeluarkan produk sos nanas, jem nanas dan inti tart nanas,” katanya.

Pengurus Besar Kulim Pineapple Farm, Mohammad Yami Bakar pula berkata, LPNM memberikan kerjasama yang baik setakat ini dan beliau berharap ia akan berterusan.

“LPNM banyak membantu bukan dari segi teknologi sahaja tetapi juga hala tuju perancangan akan datang. Kita mempunyai enam kios Melita yang menjual produk seperti air tin nanas, kuih tart nanas, buah nanas potong dan jus nanas segar,” katanya.