Penyakit bahaya pada musim tengkujuh

Kanak-kanak mungkin menanti-nantikan kedatangan musim tengkujuh kerana teruja ‘main air bah’.
Kanak-kanak mungkin menanti-nantikan kedatangan musim tengkujuh kerana teruja ‘main air bah’.
A
A
A

RIBUT petir dan hujan lebat di beberapa negeri terutamanya kawasan Pantai Timur yang dijangka bermula hari ini merupakan petanda-petanda awal kedatangan musim tengkujuh.

Bermulanya musim hujan sejak minggu lalu merancakkan lagi cuti sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.

Walaupun ada yang menjangkakan musim tengkujuh kali ini tidak sebagaimana biasa, namun banyak aspek yang perlu diberikan penekanan dalam menghadapi keadaan tersebut.

Kanak-kanak mungkin menanti-nantikan kedatangan musim tengkujuh kerana teruja ‘main air bah’ atau bermain air banjir.

Namun kali ini, dengan pandemik Covid-19, mustahil mereka boleh keluar rumah dan bermain dengan rakan-rakan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini terutamanya mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko tinggi.

Jika selamat daripada ancaman Covid-19 sekalipun, jangan dilalaikan pula dengan penyakit-penyakit lain di musim tengkujuh yang dikhuatiri boleh membawa maut.

Akan bermulalah juga episod penyakit-penyakit bawaan air yang kotor sehingga boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kepada kesihatan terutamanya kanak-kanak yang mempunyai antibodi badan yang lemah.

Bukan hanya kanak-kanak, malah golongan dewasa juga turut terdedah dengan ancaman tersebut walaupun peratusannya sangat rendah.

Artikel Berkaitan:

Penyakit diare, leptospirosis atau kencing tikus, malaria, demam denggi, demam tifoid dan sebagainya antara penyakit yang sangat popular pada musim tengkujuh.

Diare contohnya disebabkan oleh pemakanan yang tidak bersih boleh mengakibatkan cirit birit dan muntah. Pesakit boleh hilang tenaga disebabkan kesan cirit birit berpanjangan sehingga lebih daripada tiga hari.

Demam tifoid juga boleh dikategorikan sebagai penyakit yang berpunca daripada makanan yang tidak bersih, sehingga boleh menyebabkan pesakit mengalami pneumonia dan ada kes yang membawa kepada kematian jika tidak dibendung daripada awal.

Penyakit yang dibawa oleh nyamuk seperti demam denggi dan sebagainya boleh merebak dengan cepat semasa musim tengkujuh disebabkan oleh takungan air dan sebagainya.

Walaupun nampak biasa, tetapi penyakit-penyakit inilah sebenarnya penyakit berbahaya yang masih boleh dicegah sebelum kena. Namun sejauh manakah sikap rakyat kita untuk melakukan pencegahan.

Doktor dan jururawat di hospital berdepan pelbagai kekangan untuk merawat pesakit ketika ini, walaupun pesakit bukannya mereka yang menghidap Covid-19.

Ini kerana semua prosedur di hospital sudah berubah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk membendung Covid-19.

Apa salahnya kalau kita mengamalkan kehidupan yang sihat sepanjang musim ini dan bersihkan kawasan kediaman supaya jangkitan penyakit dari bawaan tempat yang kotor dapat dihindari.

Kencing tikus misalnya, memang kerap terjadi semasa musim tengkujuh kerana keadaan persekitaran yang mungkin dipenuhi air dan sebagainya.

Untuk memilih makanan pada musim ini, carilah kedai yang bersih. Belilah makanan yang diyakini sihat dan membantu memberi tenaga. Kita berhak memilih, maka pilihlah yang terbaik. Bantulah diri sendiri untuk kekal sihat.

Cakna diri, fikirkan tentang masyarakat di sekeliling. Dengan keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum reda, jangan pula ditambah dengan penyakit-penyakit di musim tengkujuh ini kerana ia boleh dicegah daripada awal.

Sekarang bukan masanya untuk main air bah. Duduklah di rumah supaya keadaan semuanya selamat.

Tiada kes jangkitan Covid, tiada kes penyakit bawaan air yang kotor dan tiada juga kematian disebabkan lemas dan sebagainya.

Bantulah barisan hadapan untuk berehat seketika. Mereka berdepan situasi yang lebih genting di hospital setiap masa walaupun tidak pernah sekali mengeluh dengan apa yang berlaku. Ayuh Malaysia, kita jaga kita.

* Siti Fatihah Awang ialah wartawan Sinar Harian Edisi Kelantan