AES: Memang dulu bantah tapi sekarang...

AES
AES
A
A
A

SHAH ALAM - Bantahan terhadap pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ketika zaman pemerintahan BN berpunca daripada ketirisan melibatkan sistem tersebut di mana ia tidak berlaku dalam kepimpinan kerajaan baharu.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Protes AES (ProtAES), Muhammad Faiz Fadzil berkata, terdapat beberapa isu berbangkit melibatkan AES ketika BN memerintah membuatkan ramai pihak membantah pelaksanaan sistem tersebut.

“Dulu ada beberapa isu melibatkan sistem ini antaranya AES ini seolah-olah kerajaan memberikan keuntungan kepada syarikat terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib bidas kerajaan tambah AES, tiada diskaun saman

“Bila ada proses ambil alih (pengurusan AES), ia melibatkan bail out (bantuan kewangan) dan itu menyebabkan ketirisan. Situasi itu berbeza dengan sekarang.

“Dulu kami bangkang kerana ada isu ketirisan. Itu tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Muhammad Faiz, beliau tiada masalah dengan keputusan kerajaan menambah kamera AES kerana menganggap ia adalah langkah meningkatkan keprihatinan pengguna terhadap keselamatan jalan raya.

Begitupun, beliau kurang bersetuju dengan kadar kompaun dikenakan kerana ia memberi kesan kepada kos hidup rakyat apatah lagi setelah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tiada lagi diskaun saman selepas ini.

Artikel Berkaitan:

“Kamera tidak menjadi masalah kerana kamera ini boleh memberikan sedikit kepekaan kepada pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati.

“Setakat ini yang kita bimbangkan adalah kompaun. Bayaran kompaun perlu ada diskaun,” ujarnya.

Baru-baru ini, Anthony Loke menegaskan dasar tiada tawaran diskaun terhadap notis kompaun dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas akan dikekalkan.

Jelasnya, ia bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya selain tidak mahu pengguna jalan raya yang mendapat saman mengamalkan sikap menunggu tawaran diskaun sebelum membayar saman.

Sementara itu, pada penghujung tahun lepas, Ahli Parlimen Seremban itu mengumumkan kamera AES di semua lebuh raya akan ditambah untuk memastikan pemandu yang melebihi had laju dikenakan tindakan undang-undang.