[DIKEMASKINI] Lebih 8,000 individu cuba ceroboh sempadan negara

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ops Benteng yang dijalankan bagi mengawal ketat sempadan negara berjaya menahan seramai 8,427 pendatang tanpa izin, 789 tekong dan 351 penyeludup bagi tempoh 1 Mei hingga semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga sebanyak 227 bot serta 922 kenderaan darat dirampas menerusi operasi bersepadu tersebut yang turut bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

"Semalam Operasi Benteng telah berjaya menahan 51 pendatang tanpa izin, dua penyeludup serta merampas tiga bot/kapal dan tiga kenderaan darat.

"Sebanyak 274 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam, melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (210), Polis Diraja Malaysia (54) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (10)," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) hari ini.