Santuni PdP secara menyeluruh, patuh SOP: Noraini

Noraini (tengah) ketika melancarkan Kempen Pembudayaan Normal Baharu secara dalam talian di sini hari ini.
Noraini (tengah) ketika melancarkan Kempen Pembudayaan Normal Baharu secara dalam talian di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak institusi pengajian tinggi (IPT) digesa bersikap tegas dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, aktiviti keramaian atau program luar kuliah yang menghimpunkan orang ramai hendaklah dielakkan.

Menurutnya, pihak pentadbiran IPT juga perlu memastikan mahasiswa, kakitangan akademik dan kumpulan pelaksana tidak berada di dalam ruang rapat serta tertutup dalam tempoh yang lama.

"Dari aspek pemantauan, warga IPT termasuklah semua pelajar hendaklah memanfaatkan sepenuhnya aplikasi MySejahtera.

"Ini penting bagi membantu pihak KKM memantau dan menjejaki kontak rapat sekiranya terdapat kes indeks direkodkan," katanya pada majlis Kempen Pembudayaan Norma Baharu KPT hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa cakna terhadap kesejahteraan diri masing-masing.

"Jika berasa demam atau mengalami batuk, sakit tekak, selesema serta sesak nafas, haruslah segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

Katanya, kementerian prihatin dengan keperluan tenaga pengajar dan juga para pelajar di IPT dalam mendakap normal baharu terutamanya dari aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP).

"Mahu atau tidak, PdP secara dalam talian merupakan antara norma baharu yang perlu kita santuni secara menyeluruh," katanya.

Dalam pada itu Noraini berkata, keterbukaan dan ketersediaan ekosistem pendidikan tinggi negara terhadap horizon baharu kaedah PdP juga menjadi faktor penting kepada kejayaan kempen Pembudayaan Normal Baharu.

"Teruslah berdisiplin dengan mematuhi SOP dan semua pihak perlu mengambil iktibar ke atas apa yang berlaku kepada bintang bola sepak Liverpool, Mohamed Salah yang disahkan positif Covid-19.

"Salah disahkan positif beberapa hari selepas menghadiri majlis perkahwinan adiknya. Menerusi rakaman video dan gambar yang tersebar di media sosial, Salah dilihat melanggar penjarakan fizikal di samping tidak memakai pelitup muka. Jadi tiada siapa pun yang kebal terhadap virus berbahaya ini," katanya.

Justeru, Noraini berkata, semua pihak perlu sedar bahawa pengaplikasian normal baharu ternyata memberikan kesan yang positif dalam memutuskan rantaian Covid-19 dan kerjasama segenap lapisan masyarakat juga amat diperlukan untuk melandaikan lengkungan Covid-19.

"Jadinya, adalah penting juga bagi semua warga pengajian tinggi khususnya untuk kekal berdisiplin dan mengamalkan normal-normal baharu yang telah digariskan," katanya.

Kempen Pembudayaan Normal Baharu yang dilancarkan secara dalam talian itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KPT, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Turut menyertai kempen secara maya itu ialah mahasiswa dari beberapa universiti tempatan.