Palsu cap sempadan: 13 termasuk sembilan anggota imigresen direman

Sebahagian daripada tertuduh dibawa keluar selepas perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini kerana terlibat aktiviti pemalsuan cap sempadan negara.
Sebahagian daripada tertuduh dibawa keluar selepas perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini kerana terlibat aktiviti pemalsuan cap sempadan negara.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) antara 13 yang dikenakan tahanan reman oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan terlibat dalam aktiviti pemalsuan cap sempadan negara.

Turut ditahan empat suspek yang bertindak selaku ejen dalam membantu aktiviti jenayah dengan mendapatkan khidmat cap berkenaan bagi warga asing.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 35 hingga 45 tahun itu dibawa ke mahkamah menaiki sebuah bas dan tiba jam 9.15 pagi.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Mohammad Salehuddin Abd Sani yang menetapkan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 23 November ini terhadap semua tertuduh.

Difahamkan, anggota JIM terlibat menerima bayaran antara RM100 hingga RM500 bagi setiap pasport warga asing yang diuruskan mereka sejak 2017.

Kesemua tertuduh disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM, Mahadi Abd Jumaat.

Empat tertuduh yang merupakan ejen diwakili peguam, Noordin Hussein, Baharudin Baharim dan Amarpreet Singh manakala sembilan anggota JIM diwakili peguam, S Bharathi.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber, 13 tertuduh terbabit merupakan antara 43 individu yang ditahan SPRM di Johor dan Selangor, semalam.

Tangkapan berkenaan dibuat di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di sini manakala 30 suspek lain ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kegiatan dilakukan suspek dipercayai melibatkan pasport warga asing yang dicop di sempadan negara walaupun pemilik dokumen tidak keluar dari negara secara fizikal.