Derita Muhammad Ammar dapat perhatian

 Muhammad Ammar menghidap penyakit hati di luar (extracorporeal liver).
Muhammad Ammar menghidap penyakit hati di luar (extracorporeal liver).
A
A
A

KUALA NERANG - "Sejak kisah Muhammad Ammar yang menghidap penyakit hati di luar (extracorporeal liver) disiarkan media, saya syukur kerana ramai yang tampil membantu dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga kami," kata Norliza Mohd Saad, 35, ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Norliza yang kini tidak dapat keluar bekerja kerana perlu memberi tumpuan kepada anak kelimanya itu berkata, bantuan wang ringgit dan sumbangan keperluan dapur sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban suaminya, Sanudin Ibrahim, 46, yang bekerja mengambil upah menoreh getah dan bekerja kampung.

Menurutnya, bantuan wang yang diterima digunakan sebaik mungkin untuk keperluan dan menampung kos rawatan Muhammad Ammar yang perlu bertemu doktor pakar pada setiap bulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

"Saya terima panggilan dan juga WhatsApp dari seluruh negara termasuk Singapura yang memberikan kata-kata semangat kepada kami. Syukur kerana rakyat Malaysia memang prihatin.

"Ada yang telefon dan WhatsApp untuk mendapatkan pengesahan sebelum mereka memasukkan sejumlah bantuan ke akaun bank saya. Ada juga yang telefon sahaja dan memberikan motivasi agar tabah dengan ujian yang dihadapi ini," katanya.

Dari kiri Sanudin dan Norliza semasa menerima kunjungan Zamzuri di rumahnya di Kampung Perik, Kuala Nerang baru-baru ini. FOTO: IHSAN ECONSAVE POKOK SENA
Dari kiri Sanudin dan Norliza semasa menerima kunjungan Zamzuri di rumahnya di Kampung Perik, Kuala Nerang baru-baru ini. FOTO: IHSAN ECONSAVE POKOK SENA

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor di rumahnya yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan daripada Econsave Prihatin bernilai RM1,000 baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkembangan Muhammad Ammar pula, Norliza berkata, hasil pertemuan dengan doktor pakar di HSB pada penghujung Oktober lalu, doktor memaklumkan bahawa pembedahan untuk memasukkan semula hati ke dalam badan anaknya akan dilakukan apabila mencapai usia dan berat badan yang sesuai.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tempoh yang terdekat ini, anak saya akan dipakai alat pendengaran di sebelah telinga kirinya kerana ada masalah pendengaran manakala pembedahan untuk membentuk cuping telinga kanannya juga akan dilakukan bila tiba masa sesuai," katanya lagi.

Sementara itu, Zamzuri berkata, pihaknya berharap sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak mampu meringankan beban keluarga Norliza yang sebelum ini perlu memperuntukkan wang bagi menampung kos rawatan Muhammad Ammar.

Pada 23 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang penoreh getah di Kampung Perik di sini mengharapkan bantuan bagi meringankan kos rawatan dan keperluan anak bongsunya yang menghidap penyakit 'extracorporeal liver' atau hati berada di luar.

Sanudin Ibrahim, 46, berkata, Muhammad Ammar yang berusia tiga bulan merupakan anak kelimanya, dilahirkan secara pembedahan kerana tidak cukup bulan, malah menghidap penyakit jantung berlubang dan tidak mempunyai cuping telinga kanan.