Kertas kerja Akta Pembangunan Kampong Bharu diserah kepada Peguam Negara

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan menyerahkan kertas kerja Akta Pembangunan Kampong Bharu kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, akta itu akan menggantikan Kaedah-Kaedah Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS), peraturan yang digunakan untuk pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu.

“Menerusi akta baharu itu, kita turut menggunakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020-2040. Pelan itu tidak akan mendiskriminasikan Kampong Bharu, kita akan memastikan ia dibangunkan setara dengan kawasan sekitar.

“Kita juga sedang menyiapkan pakej pembangunan 44 parcel di Kampong Bharu, sebahagiannya akan dipilih untuk pembangunan dalam kadar segera, yang membabitkan lebih lapan hektar tanah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 76 keluarga mangsa banjir kilat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pada 6 Jun lepas, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) dalam satu kenyataan berkata, peranan Lembaga Pentadbiran MAS, tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah, perancangan dan pengurusan perbandaran di kampung tersebut.

PPKB berkata, keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2 Disember 2019 dengan mengambil kira pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam Negara, berkenaan status lembaga itu serta surat daripada Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh 13 Februari 2020.

Sementara itu, Annuar menjelaskan keputusannya sebelum ini yang ingin menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai ‘wilayah bebas berniaga’ bukan bermaksud wilayah tersebut bebas undang-undang.

“Terdapat pelbagai undang-undang mengenai penjaja, perniagaan dan sebagainya. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mempunyai garis panduan yang mesti dipatuhi, sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kepada setiap peniaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Annuar berkata, DBKL kini memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, mulai esok (Ahad).

Bagaimanapun katanya, peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL, yang ditawarkan secara percuma. - Bernama