X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP rampas barangan tiruan bernilai RM100,000

A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menyerbu stor dan premis di sebuah pusat pemborong di Chow Kit di sini semalam kerana disyaki memiliki aksesori telefon bimbit serta perkakasan elektrik tiruan.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Zubir Hamsa berkata, pemeriksaan di dalam tiga buah stor dan sebuah premis terbabit menemui 2,645 unit barangan terbabit disyaki tiruan bernilai RM100,000.

"Siasatan mendapati barangan disyaki tiruan itu terdiri daripada aksesori telefon bimbit dan perkakasan elektrik dengan menggunakan perihal dagangan palsu dari jenama-jenama terkenal.

"Peniaga menjual barangan tersebut secara atas talian dan secara borong kepada pelanggan di seluruh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, serbuan kira-kira jam 1 petang itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu dan kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Dalam pada itu katanya, merujuk kepada statistik penghasilan kes sepanjang tahun 2020 sehingga kini, sebanyak 39 kes berlaku di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan mencecah RM3.1 juta.

"KPDNHEP memberi amaran dan peringatan kepada individu dan syarikat supaya tidak melanggar undang-undang terutama melibatkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!