Duit Petronas bayar tuntutan palsu GST?

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kerajaan adakah wang sebanyak RM19.2 bilion daripada RM82 bilion yang dijarahkan dari Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan terus digunakan untuk membayar tututan GST yang didakwa dirompak BN sebelum ini.

Katanya, ini kerana selepas enam bulan laporan polis dibuat bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkenaan dakwaan itu, kerajaan PH masih belum memaklumkan hasil siasatan berkenaan.

“Sudah masuh enam bulan, kerajaan PH masih belum maklumkan hasil siasatan polis tentang ‘rompakan’ yang sangat berat ini walaupun semua rekod-rekod ada di dalam tangan mereka.

“Walau bagaimanapun, laporan Audit Negara untuk isu ini yang dikeluarkan pada awal bulan Disember jelas menunjukkan bahagian besar tuntutan GST masih di dalam siasatan atau semakan,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, Laporan Audit sebelum ini menunjukkan bahawa ada tuntutan bayaran balik, yang mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan menipu kastam iaitu RM3.90 bilion untuk mereka yang tiada pembekalan bercukai (no output tax) dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan.

Merujuk kes seorang peniaga dari Ipoh didakwa di mahkamah kerana cuba menipu tuntutan GST sebanyak RM22 juta dari kerajaan bulan lepas, Najib berkata, terdapat banyak lagi kes seperti itu di mana puluhan juta ringgit wang kerajaan cuba ditipu oleh peniaga-peniaga melalui tuntutan GST yang palsu.

“Baru-baru ini, kita diberitahu bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan mengambil duit Petronas sebanyak RM82 bilion di mana sebahagian besar akan digunakan untuk membayar balik wang GST RM19.2 bilion dalam tahun ini walaupun kebanyakkan tuntutan-tuntutan ini masih dalam siasatan, dalam semakan atau memang tidak patut dibayar.

“Jika Guan Eng masih teruskan rancangannya untuk membayar balik tuntutan GST sebanyak RM19.2 bilion tanpa menyelesaikan semakan atau siasatan, maka PH telah merompak RM19.2 bilion dari Petronas untuk membayar peniaga-peniaga yang cuba menipu kerajaan,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia