X

Kindly register in order to view this article
!

Restoran didakwa hidang mi kari mengandungi daging babi diserbu

KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Subang Jaya, Selangor semalam susulan dakwaan menu yang mengandungi daging babi.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor semalam kerana disyaki menyajikan menu mi kari yang mengandungi daging babi.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan susulan tular di laman sosial satu rakaman video berkenaan dakwaan terbabit.

Menurutnya, hasil daripada pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang masih dalam tempoh sah sehingga 30 November 2020.

"Menurut pengurus restoran terbabit, premisnya mempunyai tiga pekerja warga Myanmar yang bertugas sebagai tukang masak.

"Pemeriksaan lanjut ke bahagian dapur restoran telah menemukan bahan mentah yang digunakan untuk menyediakan menu mi kari kepada pelanggan. Bahan mentah utama iaitu daging disyaki daging ayam disita bagi tujuan ujian makmal dan keterangan oleh pakar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Subang Jaya, Selangor semalam susulan dakwaan menu yang mengandungi daging babi.
KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Subang Jaya, Selangor semalam susulan dakwaan menu yang mengandungi daging babi.

Beliau berkata, turut disita semasa pemeriksaan adalah sijil halal Jakim dan dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.

Katanya, ​kes disiasat di bawah kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

"Saya ingin menegaskan bahawa pihak kami akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan mana-mana pemegang sijil halal Jakim sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menekankan aspek kesucian dan kebersihan bagi menjamin kemaslahatan pengguna Muslim di negara ini," katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan dengan isu halal boleh berbuat demikian melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau melalui laman web KPDNHEP atau boleh juga disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!