UiTM Jengka sumbang peralatan pencegahan Covid-19

Majlis penyerahan sumbangan peralatan tersebut di Perpustakaan Al-Bukhari di UiTM Pahang Kampus Jengka,semalam.
Majlis penyerahan sumbangan peralatan tersebut di Perpustakaan Al-Bukhari di UiTM Pahang Kampus Jengka,semalam.
A
A
A

MARAN - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka menyumbangkan peralatan pencegahan koronavirus (Covid-19) iaitu pelitup muka, cecair pembersih tangan dan penyukat suhu kepada Sekolah Kebangsaan (LKTP) Felda Jengka 11, di sini.

Penyelaras projek, Dr Mohd Zaidi Mat Saat berkata, inisiatif itu dibuat bagi menyokong usaha kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 yang semakin kritikal di negara ini.

Menurutnya, program tersebut untuk membantu pihak sekolah dan pelajar bagi mencegah penularan virus Covid-19 selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan meningkatkan kesejahteraan di setiap peringkat umur.

"Usaha bersepadu perlu diteruskan membabitkan sumbangan pelbagai pihak yang prihatin untuk sama-sama mendepani cabaran memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya.

Majlis penyerahan berlangsung di Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Pahang yang dihadiri Rektor UiTM kampus terbabit, Profesor Ts.Dr. Mohd Ilham Adenan kepada guru besar sekolah itu, Suhaiza Zainal Abidin.

Hadir sama, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), Profesor Ts Dr Azhan Hashim@Ismail dan Koordinator Unit Komunikasi Korporat, Mohd Risham Jaafar.

Tambah Mohd Zaidi, program tersebut dianjurkan bersama Jawatankuasa Khidmat Masyarakat, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan serta Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Dalam pada itu, beliau memberitahu walaupun sesi persekolahan negara diarahkan tutup akibat pandemik Covid-19 namun peralatan itu boleh digunakan setelah sesi persekolahan dibuka semula.

Artikel Berkaitan: