X

Kindly register in order to view this article
!

Majlis nikah pasangan luar Pahang hanya di pejabat agama

Dr Zulkifle Ali
A
A

KUANTAN - Majlis akad nikah membabitkan pasangan yang tinggal di luar negeri Pahang hanya boleh dilakukan di pejabat agama dan lokasi yang difikirkan sesuai oleh kadi daerah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, prosedur ini diputuskan sejajar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tujuan mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, kegagalan mematuhi syarat pencegahan Covid-19 tersebut oleh pasangan dan rombongan yang hadir dari luar negeri Pahang untuk tujuan masjlis nikah boleh menyebabkan majlis itu ditangguhkan oleh kadi daerah.

“Mana-mana individu yang berasal dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau mereka yang tersenarai sebagai Person Under Surveillance (PUS) dan Patient Under Investigation (PUI) langsung tidak dibenarkan hadir sama sekali.

“Bilangan kehadiran ke majlis dihadkan kepada lapan orang dan hanya yang berkeperluan dibenarkan hadir iaitu seorang jurunikah, dua orang saksi yang ditentukan oleh kadi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan seorang wali.

“Mereka perlu mendapatkan permit rentas negeri serta mengemukakannya ke Pejabat Agama Islam Daerah ketika menghadiri majlis akad nikah tersebut. Setiap individu yang hadir ke PAID perlu mengemukakan ujian Rapid Test Kit Actigen (RTK Ag) Covid-19 yang dibuat dalam tempoh 72 jam dari waktu pelaksanaan majlis akad nikah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, ujian RTK Covid-19 boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kerajaan mahupun swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di negeri tempat tinggal pemohon dan sebarang kos ujian adalah ditanggung pemohon.

Sebarang ketidakpatuhan dari segi tempoh masa jenis dan hasil keputusan ujian RTK Ag Covid-19 boleh menyebabkan majlis akad nikah yang ingin dilaksanakan itu, ditangguhkan dengan kuasa kadi daerah.

Zulkifle berkata, kadi daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak Pejabat Agama Islam Daerah dan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata, pemohon dan pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad nikah perlu melepasi dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan tersebut.

Selain daripada itu, SOP di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah perlu dipatuhi seperti pemakaian pelindung separa muka; melepasi ujian suhu, penggunaan penyahkuman, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, susun atur kedudukan majlis yang ditentukan dan membuat sanitasi tempat majlis akad nikah.

Menurutnya, pada masa ini, tempoh pelaksanaan majlis tidak melebihi 20 minit dan semua kehadiran hendaklah didaftarkan terlebih dahulu maklumat mereka sebelum diserahkan kepada kadi atau wakilnya.

“Sebarang upacara dan adat istiadat tidak dibenarkan langsung sepanjang majlis akad nikah tersebut manakala wakil pejabat agama akan mengambil gambar di majlis akad nikah tersebut bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara berbangkit,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!