25 ahli kumpulan jenayah terancang TCB 21 diberkas

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seramai 25 individu disyaki ahli geng TCB 21 di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah mengenal pasti satu kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai geng TCB 21 yang aktif melakukan kesalahan jenayah serius di kawasan Banting dan Dengkil, Selangor.

"Tangkapan ini adalah untuk memastikan keamanan dan ketenteraman awam dikekalkan serta memastikan kumpulan ini dapat dibanteras sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, kumpulan ini juga disyaki terlibat dalam kejadian tembak di Banting pada September lalu.

"Pada 13 hingga 14 Oktober lalu, JSJ Bukit Aman bersama JSJ Selangor telah melancarkan operasi dan berjaya menangkap seramai 29 orang ahli geng TCB 21 mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan, BAB VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan tahanan selama 28 hari.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara, namun keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mendakwa mereka di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati geng TCB 21 merupakan satu kumpulan pertubuhan kongsi gelap haram yang aktif dalam melakukan kesalahan jenayah serius seperti cubaan bunuh dengan menggunakan senjata api dan melepaskan tembakan dalam rusuhan berkumpulan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka turut melakukan jenayah merompak, melakukan khianat dengan api iaitu membakar kereta, mesin ekskavator, melakukan pemerasan, mendatangkan cedera dan lain-lain," katanya.

Pada 25 September lalu, media melaporkan sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan sekolah itu pada tengah hari.

Dua lelaki terbabit dipercayai ditembak dua individu yang menaiki sebuah motosikal. Mangsa yang cedera terkena tembakan itu adalah seorang pengawal peribadi dan majikannya.