Ahli kumpulan ajaran Suhaini Mohammad ditahan di Jasin

Rahmad
Rahmad
A
A
A

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat diasaskan Suhaini Mohammad yang menghina Nabi Muhammd SAW dengan mengatakan baginda adalah ALLAH.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di daerah Jasin kira-kira jam 8.30 malam, pada Ahad lalu.

Menurutnya, ketika serbuan terdapat isteri dan tiga orang anaknya dalam rumah tersebut dan individu itu turut mengakui sedang membuat persiapan untuk berangkat ke New Zealand pada Selasa lalu untuk bersama pengasas kumpulan terbabit.

Katanya, siasatan awal juga mendapati individu berasal dari Jasin itu sanggup berhenti kerja di Melaka dan mahu meninggalkan tanah air untuk berhijrah serta mencari pekerjaan di negara tersebut demi bersama Suhaini Mohammad atau lebih dikenali 'si hulk.'

"Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap orang yang disyaki dipercayai mahu bersama dengan pengasas dan ahli kumpulan yang terlebih dahulu berada di New Zealand.

"Hasil maklumat dan siasatan lanjut mendapati ada lagi individu lain dari seluruh negara yang akan berhijrah ke sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bukit Katil di Ayer Keroh di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negera (ADUN) Ayer Molek berkata, pihaknya turut merampas risalah ajaran sesat itu dan kumpulan ini disyaki bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan Islam.

Jelas beliau, JAIM telah membuka kertas siasatan selepas tular video di media sosial mengenai kenyataan dua lelaki Melayu di Melaka yang telah menghina Nabi Muhammad SAW pada 20 Mac lalu.

Ujar beliau, siasatan juga mendapati ajaran sesat ini bermula sejak tahun lalu yang dan pengikutnya di negeri ini dianggarkan sekitar 10 hingga 20 orang.

"Keputusan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Melaka pada 30 Mei lalu memutuskan fahaman serta ajaran itu tersesat daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kerajaan negeri menyeru supaya ahli kumpulan itu segera berhenti daripada mengikuti ajaran sesat ini dan diminta segera membuat rujukan kepada JAIM jika terdapat kekeliruan," katanya.

Umat Islam yang didapati terlibat dalam penyebaran ajaran sesat akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.