Kerajaan teliti cadangan letak SPRM bawah Akta EAIC - Ramkarpal

Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan masih meneliti cadangan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimasukkan dalam jadual Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk membolehkan aduan salah laku membabitkan pasukan penguat kuasa itu dilaporkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, secara asasnya mana-mana agensi penguatkuasaan yang menepati tafsiran di bawah Akta 700 atau Akta EAIC 2009 boleh dimasukkan di bawah jadual akta tersebut.

“Cadangan supaya SPRM diletakkan di bawah Jadual Akta 700 kini sedang diteliti secara mendalam dari sudut pelbagai aspek,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH - Kuala Selangor) yang bertanyakan sama ada Kerajaan Perpaduan mahu meletakkan SPRM di bawah EAIC sebagai langkah untuk memastikan SPRM yang benar-benar bebas.

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, Jawatankuasa Pro-tem yang dianggotai oleh semua pihak yang berkepentingan turut ditubuhkan.

“Jawatankuasa ini akan mengesyorkan hasil dapatan bagi mendapatkan ketetapan dasar oleh Jemaah Menteri kelak,” katanya.

Selain itu katanya, satu mesyuarat akan dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam masa terdekat untuk meneliti pandangan dan cadangan daripada semua pemegang taruh.