Pemuda Umno Johor desak Bersih 2.0 berhenti pantau pilihan raya

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Johor mendesak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berhenti melakukan kerja pemantauan terhadap pilihan raya di negara ini, jika tidak mampu bersikap adil dan telus.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, ia susulan kenyataan dikeluarkan badan tersebut mengenai kesalahan-kesalahan pilihan raya pada PRK Parlimen Cameron Highlands, yang disifatkan 'menjerat leher' PH.

"Ya sememangnya kedudukan Islam dan Bumiputera sudah sedia maklum termaktub dalam Perlembagaan, tetapi adakah boleh sewenang-wenangnya PH menuduh perkongsian mengenai perkara itu diperkatakan secara umum dianggap sebagai perkauman?

"Kenapa tidak dituduh komponen dalam PH, Bersatu yang melaungkan hak bumiputera dan terdesak meminta projek daripada kerajaan untuk bumiputera dianggap perkauman? Amanah yang memperjuangkan Islam dan pernah membincangkannya secara terbuka adakah juga dianggap rasis?," katanya di sini hari ini.

Mohd Hairi berkata, pihaknya dengan tegas menyokong kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan kempen DAP-PH lebih bersikap perkauman.

"Kenyataan rasis calon DAP, Manogaran memperlekeh Orang Asli, kenyataan rasis sewaktu Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sewaktu turun kempen mengapa tidak ditekankan? Adakah Bersih turut mendapat 'arahan dari langit' untuk membutakan dan membisukan perkara ini?

"Bukanlah untuk berlumba menyenaraikan kesalahan siapa paling banyak atau sedikit, cuma isi dan persoalan utama yang ingin disampaikan adalah sejauh mana Bersih 2.0 ini mampu menjadi badan bebas?," katanya.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana agenda telus dan adil yang dimomok pemimpin PH dan Bersih selama ini?

Artikel Berkaitan:

"Perkara seperti ini menggambarkan sebaliknya dan lebih teruk daripada apa yang berlaku ketika zaman pemerintahan BN," katanya.

Baru-baru ini, Bersih 2.0 mengadakan sidang akhbar mengenai kesalahan-kesalahan pilihan raya yang berlaku pada PRK Parlimen Cameron Highlands.

Media melaporkan, Bersih 2.0 mendakwa BN melakukan kesalahan pilihan raya terbanyak berbanding PH, termasuk dituduh menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk menang pilihan raya.