Hadi, Sarawak Report selesai kes saman luar mahkamah

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dalam kes saman beliau kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman berkata, ketetapan itu dibuat melalui Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London (High Court of Justice, Queen’s Bench Division).

Menurutnya, Abdul Hadi membuat keputusan menarik balik tuntutan kepada Rewcastle-Brown dan editor tersebut juga menarik balik Tuntutan Balas terhadap Ahli Parlimen Marang itu.

“Tiada perintah berkenaan kos (no order as to costs) dan kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shahir, keputusan itu dibuat selepas Abdul Hadi meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan dari semua aspek serta setelah mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguamnya.

“Beliau mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi penghargaan kepada barisan peguam, ahli-ahli Pas dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan sokongan sepanjang perjalanan kes ini,” ujarnya.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 lalu.

Ia berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 mendakwa Presiden Pas itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

Artikel Berkaitan: