Jururawat, dua anak trauma diserang lelaki amuk

Keadaan cermin belakang kereta milik seorang jururawat yang pecah akibat perbuatan khianat seorang lelaki dalam kejadian di Ipoh, Ahad lalu.
Keadaan cermin belakang kereta milik seorang jururawat yang pecah akibat perbuatan khianat seorang lelaki dalam kejadian di Ipoh, Ahad lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang jururawat trauma apabila diserang seorang lelaki yang secara tiba-tiba mengamuk dan merosakkan keretanya menggunakan batang besi dalam kejadian di Kampung Pengkalan Baru, Kampung Kepayang di sini Ahad lalu.

Lebih mencemaskan, ketika kejadian sekitar jam 5.30 petang itu berlaku, tiga anak wanita terbabit termasuk seorang bayi berada dalam kenderaan berkenaan.

Ketika dihubungi, wanita itu berkata, kejadian itu berpunca daripada salah faham selepas kenderaan mereka bergesel di bahagian tepi.

"Saya keluar dari kenderaan untuk melihat keadaan kereta, namun tidak semena-mena lelaki itu memarahi saya sambil memaki hamun.

"Disebabkan tidak berpuas hati, dia telah mengambil besi lalu mengetuk bahagian hadapan kereta saya beberapa kali, malah cermin hadapan dan belakang juga retak dan pecah akibat hentakan besi itu," katanya di sini hari ini.

Bahagian cermin hadapan turut retak selain beberapa kerosakan lain akibat dihentak menggunakan besi dalam kejadian di Ipoh, Ahad lalu.
Bahagian cermin hadapan turut retak selain beberapa kerosakan lain akibat dihentak menggunakan besi dalam kejadian di Ipoh, Ahad lalu.

Dia yang bekerja di sebuah hospital swasta di sini berkata, ketika kekecohan itu, anak lelakinya berusia sembilan tahun keluar dari kereta sambil menangis dan meminta lelaki terbabit menghentikan perbuatan itu, namun tidak diendahkan.

Katanya, dua lagi anak perempuannya berusia dua tahun dan tiga bulan sedang tidur turut menangis sebaik terjaga akibat terkejut dengan bunyi hentakan.

Artikel Berkaitan:

"Cermin belakang yang pecah telah menyebabkan kaki anak saya cedera terkena kaca.

"Lelaki itu juga cuba untuk memukul saya, namun sempat dihalang jiran yang menyedari kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada hari sama kejadian kerana bimbang dengan keselamatan diri dan anak-anak.

"Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan saya trauma malah anak lelaki dan perempuan saya sehingga kini sering mengigau akan kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.