Keputusan jadikan Wilayah Persekutuan kawasan bebas niaga dipersoal

Teresa
Teresa
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen pembangkang hari ini mempersoal keputusan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang ingin menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan bebas berniaga.

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata, kenyataan yang dikeluarkan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu dilihat berbahaya kerana ia seolah-olah membuka 'pintu pagar' untuk menggalakkan orang ramai melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya nak mula ucapan saya dengan respons terhadap menteri wilayah (Annuar) yang mana beliau semalam keluarkan satu kenyataan bahawa penduduk di Kuala Lumpur (KL), Labuan dan Putrajaya boleh menjadi penjaja di mana-mana tempat di bawah ketiga-tiga wilayah kementeriannya.

“Saya agak hairan dengan kenyataan dibuat oleh menteri ini kerana beliau seolah-olah nak jadikan Wilayah Persekutuan ini kawasan Parlimen Ketereh di Kelantan yang mana semua orang boleh buka stor, buka meja jual apa apa-apapun di mana-mana tempat.

"Kenyataan begini agak bahaya kerana ia membuka satu 'foodgate' yang menggalak ramai orang di KL Putrajaya melanggar undang-undang dan peraturan PBT," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebelum memulakan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Susulan kenyataan Teresa itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) bangkit mencelah.

Menurut Shahidan, tindakan yang dibuat Annuar itu bagi membantu rakyat yang berdepan dengan kesusahan dan hilang pendapatan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

"Dalam keadaan kesusahan sebegini, apakah pilihan kita untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Terdahulu, Annuar mengumumkan Wilayah Persekutuan akan menjadi wilayah bebas berniaga selama enam bulan mulai 15 November ini.

Katanya, inisiatif itu dibuat bagi membolehkan warga Wilayah Persekutuan KL, Putrajaya dan Labuan meringankan beban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia saja.

Beliau bagaimanapun berkata, peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL secara percuma.