Premis haram cemar sungai Selangor diserbu

Kerja-kerja pembersihan dilakukan di loji pembersihan air yang dikesan di Sungai Selangor sehingga menyebabkan pencemaran bau di IWK Taman Velox semalam. - Foto Bernama
Kerja-kerja pembersihan dilakukan di loji pembersihan air yang dikesan di Sungai Selangor sehingga menyebabkan pencemaran bau di IWK Taman Velox semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah premis tidak berlesen di Taman Velox, Rawang telah diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh agensi kerajaan semalam kerana disyaki membuat pelepasan haram ke dalam sistem pembentungan menyebabkan pencemaran Sungai Selangor.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam serbuan tersebut, premis itu didapati telah mengalirkan buangan berpigmen yang disyaki sebagai buangan terjadual dalam sistem pembentungan Indah Water Konsortium (IWK) melalui lubang tandas dan ‘inspection chamber’.

“Penemuan awal mendapati bau bahan yang ditemukan sama seperti bau di Loji Rawatan Kumbahan IWK dan Loji Rawatan Air (LRA).

“Kesemua sampel telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan akan dianlisis oleh Jabatan Kimia Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, premis itu telah disita oleh Majlis Perbandaran Selayang manakala empat suspek termasuk penyewa premis turut ditahan polis.

“Kementerian ingin mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menjadi penyebab kepada pencemaran air sungai. Pengurusan buangan terjadual juga perlu diberi perhatian serius bagi mematuhi undang-undang dan garis panduan sedia ada.

Keadaan persekitaran loji yang bertukar warna yang dikesan di Sungai Selangor sehingga menyebabkan loji pembersihan air (LPA) berkenaan pencemaran bau di IWK Taman Velox semalam. - Foto Bernama
Keadaan persekitaran loji yang bertukar warna yang dikesan di Sungai Selangor sehingga menyebabkan loji pembersihan air (LPA) berkenaan pencemaran bau di IWK Taman Velox semalam. - Foto Bernama

“Buangan hendaklah dikitar semula atau dilupuskan di premis berlesen oleh JAS sahaja kerana buangan terjadual mempunyai ciri-ciri berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jika disabit kesalahan, beliau berkata tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 25, Seksyen 34A dan Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 50 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Semalam, Air Selangor memaklumkan operasi LRA Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas kerana pencemaran bau dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.- Bernama