MAIS tawar program pemulihan individu terjebak LGBT

Tangkap layar laporan Sinar Harian. Salehuddin Saidin (gambar kecil)
Tangkap layar laporan Sinar Harian. Salehuddin Saidin (gambar kecil)
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggesa individu yang terjebak dengan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) supaya kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan yang disediakan pihak berkuasa agama itu dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pihak berkuasa dan agensi kerajaan bagi menawarkan pemulihan berkaitan.

“Kita ingin memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang dan LGBT yang merosakkan masyarakat ini dapat disekat dan dicegah.

“MAIS juga akan terus memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai suatu usaha untuk memastikan budaya songsang ini tidak lagi diamalkan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, pihaknya memandang serius laporan media berhubung penganjuran program yang didakwa melibatkan komuniti LGBT serta usaha mempromosikan gaya hidup yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

“Sebagai badan bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di negeri Selangor, MAIS menentang keras sebarang bentuk aktiviti mana-mana pihak yang bertujuan mempromosi, menyokong dan menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBT.

Sehubungan itu, katanya, MAIS juga mengingatkan umat Islam supaya tidak menyertai, mempromosi, menyokong atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikaitkan dengan normalisasi gaya hidup songsang dan LGBT.

“Ini kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah turut bercanggah dengan undang-undang, nilai budaya Timur dan norma masyarakat di Malaysia,” tambah beliau.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan program ‘Glamping With Pride’ yang berlangsung di Hulu Langat pada hujung minggu depan tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Program itu dianjurkan oleh sebuah kumpulan LGBT dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu program retret berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Sebelum ini, pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap penganjuran program yang didakwa tidak bermoral dan menormalisasikan ideologi gender.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya memandang serius penganjuran program yang secara terang-terangan mempromosikan gaya hidup songsang.

 

 

Ringkasan AI

  • MAIS menggesa individu LGBT mengikuti program pemulihan dengan kerjasama NGO
  • MAIS bekerjasama dengan JAIS dan agensi kerajaan untuk menawarkan pemulihan
  • Tujuan adalah untuk mencegah normalisasi dan pengaruh hidup LGBT yang merosakkan masyarakat
  • MAIS memperkuat pendidikan akhlak dan nilai Islam untuk mencegah budaya songsang
  • MAIS menentang keras aktiviti yang mempromosi gaya hidup LGBT dan mengingatkan umat Islam tidak menyokong aktiviti tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!