Nombor pendaftaran PPP catat kutipan RM7.3 juta

Zamakhshari (tengah) bersama Adenan (kiri) dan Azhar (kanan) menunjukkan nombor pendaftaran yang mendapat bidaan tertinggi bagi siri PPP.
Zamakhshari (tengah) bersama Adenan (kiri) dan Azhar (kanan) menunjukkan nombor pendaftaran yang mendapat bidaan tertinggi bagi siri PPP.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip hasil kutipan tertinggi RM7.3 juta melalui bidaan nombor siri pendaftaran PPP yang dibuka sejak 5 November lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Zamakhshari Hanipah berkata, bidaan yang dilakukan selama lima hari itu berjaya mengatasi kutipan bagi nombor pendaftaran siri SYG yang sebelum ini berjaya mengutip RM3.4 juta.

Menurutnya, seramai 35,356 orang telah mengambil bahagian dalam bidaan tersebut yang dijalankan melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

"Nombor siri pendaftaran PPP 1 mendapat bidaan tertinggi iaitu RM260,000 yang dimenangi oleh seorang ahli perniagaan.

"Bagi nombor pendaftaran PPP 8999 pula mendapat jumlah pembida paling ramai iaitu seramai 33 orang dan dimenangi dengan harga bidaan tertinggi iaitu RM12,888," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa dan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan, Azhar Mohamad Yusof.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, nombor pendaftaran PPP 9 menjadi bidaan kedua tertinggi iaitu bernilai RM160,000 dan PPP 6 pula berada di tempat ketiga dengan nilai bidaan RM140,000.

Sementara itu, beliau mengakui terdapat gangguan sistem ketika proses bidaan nombor pendaftaran siri PPP sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, masalah itu berlaku disebabkan jumlah pengguna yang mengambil bahagian dalam bidaan berkenaan meningkat tiga kali ganda daripada biasa.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan masalah berkenaan tidak akan berulang lagi pada bidaan nombor pendaftaran akan datang dan pihaknya telah melakukan penambahbaikan dalam sistem berkenaan.

"Sistem JPJebid merupakan salah satu usaha JPJ ke arah mendigitalisasikan penyampaian perkhidmatan dan sudah pasti sistem ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.

"Pembida boleh mengetahui kedudukan secara 'realtime' dan sepanjang bidaan dilakukan ia tiada sebarang campur tangan manusia termasuk mana-mana pegawai JPJ," katanya.