X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Penutupan sekolah: 10,000 pengusaha kantin mungkin gulung tikar

Anwar Ibrahim
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Kementerian Pendidikan berkaitan penutupan sekolah dibuat tanpa mengambil kira nasib pengusaha kantin.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, keputusan itu dikhuatiri akan memaksa lebih 10,000 pengusaha kantin gulung tikar akibat ketidakmampuan mereka menanggung bebanan kos operasi harian.

"Saya ambil maklum mengenai lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara terkesan ekoran keputusan penutupan sekolah sehingga 17 Disember ini.

"Ini dikhuatiri memaksa mereka untuk gulung tikar akibat ketidakmampuan menanggung bebanan kos operasi harian. Keputusan tergesa-gesa tanpa ambil kira nasib para pengusaha kantin adalah mengecewakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menuntut penjelasan dan tindakan segera daripada kerajaan, terutama Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berhubung isu ini.

"Saya juga mendesak kerajaan untuk pertimbangkan cadangan memberi geran bantuan dan lanjutkan kontrak perkhidmatan mereka.

"Saya nasihatkan kerajaan untuk fikir dan teliti setiap aspek sebelum membuat keputusan yang akan mengesankan rakyat terbanyak, terutamanya ketika zaman getir seperti hari ini," katanya.

Terdahulu, semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditutup bermula Isnin lalu sehingga hari akhir persekolahan pada tahun ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menutup semua sekolah di Perlis, Kelantan, Pahang dan Sarawak mulai 9 November hingga 17 Disember.

Penutupan sekolah itu dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!