Perunding veteran Palestin meninggal kerana Covid-19

Saeb Ereka
Saeb Ereka
A
A
A

RAMALLAH - Perunding veteran Palestin, Saeb Erekat meninggal dunia pada usia 65 tahun selepas dimasukkan ke hospital sejurus didiagnos positif koronavirus (Covid-19) beberapa minggu lalu.

Pada 9 Oktober lalu, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengesahkan Erekat yang memegang jawatan Setiausaha Agung badan itu disahkan positif virus tersebut.

Erekat kemudiannya dimasukkan ke Hospital Hadassah Ein Kerem pada 18 Oktober lalu.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan turut menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada penduduk Palestin dan mereka sangat berdukacita menerima berita itu.

Rundingan damai Israel-Palestin yang terhenti sejak beberapa tahun lalu menyebabkan Erekat 'menjadi suara' menyampaikan perjuangan penduduk Palestin.

Pada 2014, Erekat pernah menjadi ketua perunding Palestin apabila bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama cuba untuk memulakan semula usaha damai Israel-Palestin.

Beliau dilahirkan di Baitulmaqdis pada 1955 dan membesar ketika Israel menduduki beberapa negara Arab selepas Perang Enam Hari 1967 berakhir.

Bapa kepada empat anak itu turut mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk mencari penyelesaian kepada krisis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sejak 1991, ahli akademik dan bekas wartawan yang fasih berbahasa Inggeris itu sentiasa menjadi sebahagian daripada pasukan perunding dengan Israel.

Pada 2017, pengkritik lantang dasar penindasan Israel itu pernah menjalani pemindahan paru-paru di Amerika Syarikat selepas beliau menderita penyakit paru-paru berparut (Pulmonary Fibrosis) selama beberapa tahun.

Erekat yang menetap di bandar Jericho, Tebing Barat itu juga pernah menulis kira-kira 12 buku. - AFP