Jurukimpal tikam anjing dipenjara 12 bulan

Surais (tengah) dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Jasin hari ini.
Surais (tengah) dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Jasin hari ini.
A
A
A

JASIN - Perbuatan kejam seorang jurukimpal yang mencederakan anjing jirannya ketika mabuk hingga perut binatang itu terburai, akhirnya terbalas selepas dia dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Suzana Mokhtar selepas tertuduh S Surais, 38, membuat pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didapati dengan sengaja melakukan khianat membunuh seekor anjing milik G N M Pusparani, 50, menggunakan senjata tajam kira-kira jam 9.30 malam di sebuah rumah di Jalan Teratai, Taman Maju pada 5 November lalu.

Surais didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan pencerobohan memasuki rumah pemilik anjing tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 488 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dalam bentuk denda diberikan dengan alasan anjing sama pernah mengejarnya sehingga menyebabkan dia terjatuh dari motosikal ditunggangi dan mengalami kecederaan.

Tertuduh turut memberikan alasan dia juga ada memelihara seekor anjing di rumahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos memohon hukuman penjara diberikan dengan mengambil kira faktor ketidakberperikemanusiaan tertuduh, selain haiwan itu terseksa dan menanggung kesakitan lebih lima jam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati telah menikam anjing tersebut beberapa kali di bahagian perut sehingga terkeluar usus namun malangnya anjing peliharaan itu disahkan mati pada jam 2.45 pagi ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat veterinar.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan membunuh haiwan dan empat bulan atas kesalahan menceroboh yang mana kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 5 November lalu.

Ahad lalu, Sinar Harian menyiarkan seorang lelaki dipercayai mabuk menceroboh sebuah rumah dan mencederakan seekor anjing peliharaan jirannya dengan senjata tajam hingga isi perut haiwan itu terburai dalam kejadian di Taman Maju, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, lelaki berusia 37 tahun itu menceroboh masuk ke dalam garaj kediaman seorang suri rumah berusia 50 tahun dan mengamuk sebelum mencederakan anjing itu menggunakan sebilah parang kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mengamuk cederakan anjing hingga perut terburai