Penurunan kes Covid-19 di Sabah diharap berterusan

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Penurunan kes baharu positif koronavirus (Covid-19) di Sabah sejak tiga hari ini selepas mencatat jumlah kes tertinggi Jumaat lalu diharap akan berterusan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hari ini sebanyak 370 kes baharu dicatatkan dan terdapat sedikit penurunan kes harian selepas tiga hari lalu.

"Saya rasa, angka yang ditunjukkan hari ini apa yang telah diramal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa strategi mereka berfungsi.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh ambil mudah perkara ini, kalau mahu jumlahnya terus menurun, setiap pihak perlu bekerjasama dan lebih berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Saya sangat berharap angka ini terus menurun untuk hari seterusnya," katanya dalam sidang media, di Wisma Innoprose, di sini, hari ini.

No Image Caption

Ketika ditanya berhubung sampel Covid-19 tertunggak, Masidi memaklumkan setakat ini Sabah sudah tiada sampel yang tertunggak.

"Saya andaikan apa yang dilaporkan sekarang adalah kes terbaharu dan jumlah ini dalam kawalan," katanya.

Terdahulu, Masidi turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat hari ini dilanjutkan sehingga 6 Disember.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya dalam peringkat perbincangan berhubung pelonggaran SOP PKPB.

"Ini salah satu yang kita bincang sebenarnya, dalam peringkat penelitian dengan mengambil kira statistik perkembangan status Covid-19 dan mudah-mudahan dalam dua atau tiga hari ini, kita umumkan keperluan pelonggaran SOP ini," katanya.

Sementara itu, Masidi memaklumkan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi hari ini iaitu sebanyak 118, Sandakan (59), Tuaran (52), Tawau (42) dan Kota Belud (26).

Keningau (19), Lahad Datu (15), Penampang dan Putatan masing-masing 18 kes, Telupid, Kudat dan Ranau catat empat kes manakala Papar, Kota Marudu dan Pitas masing-masing tiga kes dan Semporna serta Kinabatangan catat satu kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!